News & Articles Gamuda Land tumpu pengembangan skala besar di luar negara

Gamuda Land tumpu pengembangan skala besar di luar negara


4 Oct 2022
Gamuda Land tumpu pengembangan skala besar di luar negara
KUALA LUMPUR: Gamuda Land akan mengembangkan portfolio hartanah di luar negara dalam skala yang lebih besar seiring dengan sasaran kumpulan untuk menjana jualan sebanyak RM8 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Cabang perniagaan hartanah di bawah Gamuda Bhd itu ketika ini mempunyai projek hartanah di Vietnam, Singapura, Australia dan United Kingdom (UK).

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng, berkata pihaknya akan menumpukan kepada empat negara itu termasuk Malaysia bagi pembangunan projek hartanah dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, kumpulan menyasar dapat melaksanakan dua hingga lima projek hartanah setiap tahun di kesemua negara terbabit dengan jangkaan keseluruhan sebanyak 25 projek hartanah dalam tempoh lima tahun.

Katanya, adalah penting Gamuda Land hanya menumpukan kepada lima pasaran itu berbanding meninjau pasaran baharu kerana ingin memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

"Kami akan melaksanakan lima projek hartanah baharu setiap tahun di empat negara itu. Kami tidak mahu meninjau negara lain buat masa ini, selain projek hartanah yang akan dilaksanakan juga adalah projek yang berada dalam lingkungan kemahiran kami.

"Gamuda Land tidak mahu melaksanakan projek hartanah yang pelbagai atau di banyak negara baharu. Kami tumpu pada apa yang kami mahir dan kepakaran sedia ada. Kami yakin pengukuhan projek hartanah luar negara selain penerusan projek di Malaysia akan mampu membawa Gamuda Land mencapai sasaran jualan RM8 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Pasaran matang seperti Australia dan UK memberikan pelbagai peluang kepada kami untuk memperagakan kepakaran perancangan dan kemampanan yang teliti," katanya selepas melancarkan dua projek hartanah antarabangsa Gamuda Land di sini, hari ini.

Chee Meng berkata, pengembangan projek antarabangsa Gamuda Land adalah sebahagian daripada pelan strategik lima tahun dan akan bersandarkan kepada tiga teras strategik.

Beliau berkata, teras itu adalah mewujudkan nisbah 50:50 antara projek tempatan dan antarabangsa, selain memperkenalkan projek bersaiz kecil.

Dengan projek bersaiz kecil, pulangan katanya boleh diramalkan dalam tempoh lima tahun pertama dan pendapatan boleh dilaburkan semula ke dalam projek baharu yang lain berbanding pembangunan projek perbandaran yang memerlukan komitmen modal pendahuluan yang tinggi serta pulangan pemulihan yang lebih lama.

"Gamuda Land juga sedang meninjau untuk mengembangkan portfolio dalam bidang projek komersial dan perindustrian untuk bangunan pejabat yang mampan di pasaran UK.

"Vietnam juga berpotensi besar untuk pembangunan projek komersial dan perindustrian kerana Gamuda Land sudah lama berada di negara itu serta mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Vietnam sebagai pemaju hartanah luar negara terbaik.

"Malah, kedudukan Vietnam juga ketika ini sangat strategik, sedang membangun berikutan aliran masuk pelaburan langsung asing dan prospek ekonomi yang positif," katanya.

Projek terbaharu Gamuda Land di Australia, The Canopy on Normanby dijangka memulakan pembinaan pada Jun 2023 dan akan siap sepenuhnya pada Mac 2025 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) AU$180 juta (RM391 juta).

Ia adalah projek hartanah kedua Gamuda Land di Australia.

The Canopy on Normanby adalah projek hartanah pangsapuri 20 tingkat dengan 213 unit kediaman merangkumi satu, dua atau tiga bilik tidur.

The Canopy akan menampilkan pelbagai ciri bangunan hijau serta menggabungkan reka bentuk biofilik yang akan menghubungkan penduduk dengan alam semula jadi.

Manakala, West Hampstead Central menjadi projek pertama Gamuda Land di UK dengan pembinaan bermula pada Oktober 2021 dan dijangka siap pada suku ketiga tahun depan.

West Hampstead Central adalah pangsapuri dengan 101 unit kediaman merangkumi satu dan dua bilik tidur. GDV West Hampstead Central adalah sebanyak £65 juta (RM335 juta).

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia