WCT Land, DWG Malaysia jalin kerjasama pemasaran
PETALING JAYA: WCT Land Sdn Bhd, cabang pembangunan hartanah dan pelaburan dan pengurusan hartanah WCT Holdings Bhd menjalin kerjasama strategik dengan DWG Malaysia bagi memasarkan keseluruhan projek premiumnya, Menara C The Maple Residences.
Timbalan Pengarah Urusan WCT Holdings Bhd, Peter Chow, berkata kerjasama dengan DWG itu adalah yang julung kali buat WCT, dengan pihaknya meneruskan rancangan untuk meningkatkan penjualan unit Menara C The Maple Residences.
"Kami menantikan peluang untuk bekerjasama bagi menggabungkan kepakaran dan pengetahuan pasaran kami dengan DWG.
"Kami teruja untuk bekerjasama dengan DWG, penyedia perkhidmatan hartanah yang berpengalaman, yang mana mereka akan melancarkan pelan jualan dan pemasaran untuk Menara C.
"DWG akan diberi hak eksklusif untuk menjual lebih 300 unit mewah Menara C, yang menyasarkan pelanggan tempatan dan antarabangsa," katanya pada majlis pemeteraian kerjasama itu di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi (Pembangunan Hartanah) WCT Holdings, Chong Wah Hing dan Ketua Pegawai Eksekutif DWG Malaysia, Justin Chew.
Mengulas lanjut, Chow berkata, pihaknya percaya rekod prestasi DWG yang terbukti dalam strategi pemasaran inovatif dan rangkaian jangkauan pelanggannya yang luas, akan dapat meraih kejayaan dengan pengambilan unit yang tinggi di Menara C.
Sementara itu, Chew berkata pihaknya menyasar untuk menjual kesemua unit Menara C itu dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
"Kami akan memulakan kempen pemasaran pada akhir bulan ini dengan sasaran jualan 70 peratus untuk rakyat tempatan dan baki 30 peratus untuk pembeli asing.
"Kami akan memasarkan projek ini di Singapura, Hong Kong, Taiwan dan China untuk mencari pembeli berpotensi di negara ini," katanya.
Dibangunkan sebahagian daripada pembangunan bercampur seluas 25.5 hektar di W City OUG @ Kuala Lumpur, The Maple Residences terletak di tengah-tengah kejiranan Taman OUG yang matang dan bersambung dengan baik ke semua hab transit dan perniagaan utama Kuala Lumpur.
Projek hartanah bertingkat premium itu terdiri daripada tiga menara iaitu Menara A, B dan C, dengan sejumlah 940 unit kondominium pegangan bebas yang direka bentuk secara estetik.
Harga seunit bermula dari RM1 juta hingga RM1.3 juta dengan keluasan binaan di antara 1,100 hingga 1,300 kaki persegi.
Nilai pembangunan kasar (GDV) bagi keseluruhan pembangunan The Maple Residences ialah RM954 juta, manakala untuk Tower C sahaja RM430 juta.
Kadar pengambilan bagi Menara A dan Menara B masing-masing sebanyak 91 peratus dan 63 peratus setakat ini.
Penduduk The Maple Residences akan menikmati pelbagai kemudahan, termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, kedai serbaneka, pusat beli-belah, dan pasar raya besar, hospital, dan banyak lagi yang terletak berhampiran.
The Maple Residences juga menawarkan persekitaran hidup berbilang generasi untuk penduduk semua peringkat umur dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025.
Source: Bharian.com.my