Sunway City Ipoh umum rancangan pengembangan RM4 bilion
IPOH: Sunway Property mengumumkan rancangan pengembangan Sunway City Ipoh bernilai RM4 bilion bagi menyokong pertumbuhan sosio-ekonomi bandar raya itu yang mampan.
Buat masa ini, pembangunan Sunway City Ipoh mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2 bilion dengan tambahan RM4 bilion lagi itu bakal dilaksanakan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Pengarah Eksekutif Sunway City Ipoh, Wong Wan Wooi, berkata Sunway Property sedang bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh untuk menaik taraf Jalan Tambun dari susur keluar Lebuhraya Utara-Selatan hingga Taman Perpaduan.
Beliau berkata, dengan kos kira-kira RM16 juta, Sunway Property menyumbang RM8 juta untuk projek itu yang dijangka akan disiapkan menjelang pertengahan 2023.
Katanya, kerja naik taraf itu akan mengurangkan masa atas jalan dengan ketara, apabila menggantikan tujuh lampu isyarat dengan pusingan-U.
"Sunway City Ipoh menyasar untuk menjadi 'R&R' (rehat dan rawat) terbesar untuk pengguna Lebuhraya Utara Selatan yang boleh mencecah sehingga empat juta kenderaan semasa musim kemuncak.
"Berikutan sambungan yang bertambah baik, kami menerima banyak pertanyaan daripada operator F&B (makanan dan minuman) terkemuka, termasuk lebih banya cawangan F&B pandu lalu selain McDonald's dan Starbucks sedia ada di sini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sunway Property juga sedang membina Pusat Perubatan Sunway Ipoh setinggi lapan tingkat di atas tanah seluas 3.37 ekar dengan 260 katil dan lapan dewan pembedahan akan siap serta beroperasi menjelang suku pertama 2024.
Fasa pertama membabitkan 187 katil, manakala fasa kedua merangkumi 73 katil dengan keluasan lantai kasar 448,000 kaki persegi dengan lebih 650 tempat letak kereta.
Pembangunan akan datang termasuk pusat beli belah terbesar di Ipoh dengan keluasan lantai kasar lebih sejuta kaki persegi dan kira-kira 2,000 tempat letak kereta.
Sama dengan pembangunan lain dalam perbandaran itu, seni bina pusat beli belah terbabit akan digabungkan dengan landskap semulajadi di kawasan itu.
Pusat beli belah itu dirancang untuk menempatkan sebuah pasar raya, penyewa utama selain menampilkan taman selera, sinepleks 10 dewan, sebuah pusat konvensyen, sebuah pusat boling 10 lorong, luncur ais serta kemudahan memanjat batu yang menawarkan pengalaman luar biasa.
Sunway City Ipoh juga akan membina sebuah kampus pendidikan merentasi tanah seluas empat ekar.
Selain itu, Sunway Property juga akan melancarkan pembangunan teres-fleksi yang menggunakan Reka Bentuk dan Seni Bina Pembangunan Sunway, hanya 300 meter dari pusat perubatan terdiri daripada 168 unit kediaman berkembar.
Kediaman berpagar dan berpengawal itu akan menampilkan rumah dengan saiz daripada 1,300 kaki persegi hingga 1,900 persegi yang akan dilancarkan tahun depan.
Sunway Property juga akan memperkenalkan dua menara baharu Sunway Onsen Suites, memandangkan menara pertama telah mencatatkan kadar pengambilan lebih daripada 98 peratus.
Source: Bharian.com.my