News & Articles ALR muktamad ambil alih empat konsesi lebuh raya

ALR muktamad ambil alih empat konsesi lebuh raya


14 Oct 2022
ALR muktamad ambil alih empat konsesi lebuh raya
KUALA LUMPUR: Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) memuktamadkan pengambilalihan empat syarikat konsesi lebuh raya menerusi kejayaan terbitan Sukuk Murabahah Kemampanan penarafan AAA pada harga RM5.5 bilion nilai nominal.

Empat lebuh raya berkenaan ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Lebuhraya SPRINT), KESAS Sdn Bhd dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART).

Menurut ALR dalam kenyataan hari ini, sehubungan itu, pihaknya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak berkepentingan utama syarikat konsesi iaitu Gamuda Bhd, Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd, MMC Corporation Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atas sokongan bagi menjayakan penyiapan pengambilalihan masing-masing.

"ALR juga ingin mengucapkan terima kasih kepada komuniti pelaburan, agensi penarafan kredit, penasihat dan vendor yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan perjanjian penting ini.

"Kami juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Ahli Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta (JKAS), Unit Kerjasama Awam Swasta di Jabatan Perdana Menteri (UKAS) dan semua ahli pasukan masing-masing, yang menerusi sokongan padu mereka menjayakan pengambilalihan ini.

"Urus niaga Sukuk Murabahah Kemampanan yang berjaya ini adalah satu langkah ke hadapan dalam komitmen ALR untuk memenuhi mandatnya untuk mempercepatkan era tol nominal kepada rakyat," katanya.

Ia menambah, ketika berusaha untuk memenuhi mandat mereka, ALR akan mendedahkan status kewangannya pada setiap dwi-tahunan bagi memberikan kemas kini status mengenai kemajuan kewangannya.

"Ini selaras dengan piagam dan ikrar ketelusan kami kepada konstituen," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia