DWG sasar pasarkan tiga projek hartanah tahun depan
KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan pelaburan hartanah, DWG Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh oleh Prime International Properties Group (PIP Group), menyasar untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tiga projek hartanah kediaman bagi tujuan pemasaran tahun depan.
Pengurus Kanan Perhubungan Pelaburannya, Valen Yap, berkata pada akhir 2019, pihaknya telah berjaya menaja jamin tiga projek kediaman di mana semua tiga projek ini telah habis dijual dalam tempoh setahun walaupun pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, tiga produk itu ialah projek kediaman bertingkat Pavilion Damansara Heights, Windsor Suites yang dibangunkan oleh Pavilion Group, Menara Lucentia yang dibangunkan oleh BBCC dan projek dari Berjaya Corporation iaitu, The Tropika Bukit Jalil.
"Bagi The Tropika Bukit Jalil, kami diberi kepercayaan daripada pemaju, Berjaya Corporation untuk kembali bekerjasama menjualkan Menara D kerana pada 2020 kami telah berjaya menjualkan keseluruhan unit di Menara B.
"Pada ketika ini, Menara D sudah pun 90 peratus terjual," katanya kepada BH dalam satu temu bual, baru-baru ini.
Ditubuhkan pada 1993, DWG menjadi penyedia perkhidmatan hartanah yang mengkhusus dalam pembrokeran dan menguruskan urus niaga hartanah.
Pada akhir 2016, DWG menukar model perniagaannya kepada penyedia perkhidmatan pelaburan hartanah dan hari ini, DWG Malaysia ialah firma pelaburan hartanah global yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaburan, penaja jamin dan pembangunan bersama.
Bermula daripada syarikat hartanah yang diasaskan di Singapura, DWG kini telah berkembang ke tujuh negara lain iaitu Malaysia, Thailand, Jepun, United Kingdom, China, Taiwan dan Hong Kong serta yang terbaru di Vietnam.
Mengulas lanjut, Yap berkata, pihaknya baru-baru ini diberi kepercayaan oleh pemaju, WCT Land Sdn Bhd, bagi memasarkan keseluruhan projek premiumnya, Menara C The Maple Residences.
Katanya, DWG menyasar untuk menjual semua unit Menara C itu dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
"Kami akan memulakan kempen pemasaran pada akhir bulan ini dengan sasaran jualan 70 hingga 80 peratus untuk rakyat tempatan dan 20 hingga 30 peratus untuk pembeli asing.
"Kami akan memasarkan projek ini di Singapura, Hong Kong, Taiwan dan China untuk mencari pembeli berpotensi di negara berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Yap berkata, pihaknya sangat selektif dalam memilih projek yang ditaja jamin dan penyelidikan secara mendalam akan dibuat sebelum memilih sesuatu projek.
"Kami bukan seperti agensi hartanah yang biasanya akan mengambil banyak projek hartanah untuk dijual, sebaliknya, disebabkan oleh model perniagaan DWG, pihak kami akan menaja jamin tiga projek sahaja setiap tahun dengan terma dan syarat diantara pemaju hartanah.
"Ini untuk membolehkan pasukan kami menumpukan sepenuhnya fokus kepada kerja pemasaran dan penjualan produk hartanah bagi memastikan kami berjaya menjual semua unit dalam tempoh yang disasarkan.
"Setakat ini, semua produk terdahulu yang kami menaja jamin telah berjaya dijual sepenuhnya," katanya.
Source: Bharian.com.my