Ancubic lancar A-Park, siri taman industri
KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju hartanah, Ancubic Capital Sdn Bhd (Ancubic) melancarkan siri taman industri, A-Park merangkumi kilang berkembar dan semi-D berkembar tiga tingkat.
Taman industri yang dibangunkan di dua lokasi hangat sedang membangun iaitu Bangi, Selangor dan Batu Kawan, Pulau Pinang itu dibina berkeluasan antara 743 hingga 2,787 meter persegi setiap satu.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Ancubic, Datin Kimilee You, berkata Taman Perindustrian A-Park membolehkan syarikat memperoleh sinergi bersama pelanggan dan pembekal di satu lokasi.
"Ia sesuai untuk syarikat dalam industri pertumbuhan utama seperti produk elektronik, barangan pengguna bergerak pantas, logistik, pergudangan, pemprosesan makanan, perkhidmatan kejuruteraan am, kejuruteraan ketepatan, pusat data, informasi dan teknologi, perniagaan proses sumber luar dan semikonduktor," katanya ketika majlis menandatangani perjanjian antara syarikat Ancubic dan pembekal utama di Galeri Cubic Botanical, South Bangsar, baru-baru ini.
Ia turut disaksikan oleh Pengurus Projek Fiamma Trading Sdn Bhd, Christine Goh; Ketua Perniagaan CE Samsung Malaysia, Jimmy Tan dan Pengarah Urusan EBAC Home Sdn Bhd, Angela Chong Sze Chun.
(Dari Kiri) Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Tan Sri Datuk Soh Thian Lai; Ketua Pengarah Eksekutif Ancubic Group, Dato Low Boon An; Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Ding Hong Sing dan Ketua Perniagaan CE Samsung Malaysia, Jimmy Tan semasa upacara perasmian A-Park. NSTP/AZIAH AZMEE
Taman Industri A-Park dibina strategik, mudah akses kepada lebuh raya utama dan berhampiran dengan kawasan berpotensi seperti pemain industri utama.
Taman Perindustrian Bangi terletak secara strategik dan berdekatan dengan Kuala Lumpur, Kajang, Putrajaya, Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
A-Park di Bangi juga boleh diakses dengan mudah melalui Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), Lebuhraya Sungai Besi dan Lebuhraya Utara-Selatan.
A-Park di Batu Kawan pula dibina berhampiran dengan Pulau Pinang dan boleh diakses melalui Jambatan Kedua Pulau Pinang, dan jalan masuk bebas tol dari Jalan Sungai Bakap ke Seberang Perai.
Dengan pembinaan A-Park di Batu Kawan, ia akan menyediakan peluang pelaburan untuk memiliki hartanah strategik kerana Batu Kawan sedang berkembang pesat dan bakal menjadi i zon perindustrian utama seterusnya di Pulau Pinang.
Pelancaran siri Taman Industri A-Park terdiri daripada ciri-ciri yang menarik seperti A-Level lokasi, A-Level sekuriti, A-Level laman, A-Level Infrastruktur dan lain-lain.
A-Park sekuriti dilengkapi dengan kawalan perkhidmatan keselamatan 24 jam, sistem keselamatan CCTV dan pada aplikasi sistem pemantauan CCTV, sistem pengurusan pelawat tercanggih dan sistem kawalan akses langsung pemilik perniagaan.
Antara ciri-ciri lain di A-Park termasuk reka bentuk unik yang boleh digunakan dalam pelbagai cara seperti gudang, bilik pameran dan pejabat kerana dibina dengan bahan berkualiti dan praktikal.
Ia dibina dengan rekaan siling tinggi untuk fleksibiliti penuh dan bagi membolehkan pengudaraan optimum, pencahayaan semula jadi dan penglihatan.
Selain itu, A-Park direka untuk melestarikan alam dengan adanya sistem penuaian air hujan untuk mengurangkan kesan alam sekitar selain menjimatkan bil air.
Tempat letak kereta A-Park diberi sentuhan permukaan rumput untuk meminimumkan pendedahan haba.
Bumbung A-Park pula bertebat dan berteknologi solar untuk mengurangkan penambahan haba melalui bumbung.
Dengan reka bentuk mesra alam sekitar ini, ia mampu membantu pemilik kilang menjimatkan tenaga dan sumber semula jadi, mengurangkan jejak karbon dan menghapuskan kesan negatif terhadap alam sekitar.
A-Park turut menyediakan kemudahan pengurusan dan penyelenggaraan dengan kutipan yuran penyelenggaraan dan operasi untuk menyelenggara, servis, membaiki hartanah dan landskap.
Ia turut dilengkapi perkhidmatan dan pengurusan sisa industri serta domestik bagi menyediakan penyimpanan, pengumpulan, pengangkutan dan sisa pepejal yang bersih, cekap serta menjimatkan.
Sementara itu, Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangi Kumpulan ANCUBIC dengan Samsung Malaysia, Fiamma Trading dan Ebac Home pada majlis sama juga bertujuan untuk menawarkan produk berkualiti kepada pembeli projek pembangunan terbarunya, pangsapuri perkhidmatan Cubic Botanical di South Bangsar, Kuala Lumpur.
Kimilee berkata, MoU itu menunjukkan komitmen pemaju untuk menawarkan produk berkualiti yang akan mengisi kesemua 1,161 unit tanpa kos tambahan pada harga jualan.
"Kami sudah mencapai 95 peratus jumlah jualan dan menghampiri fasa sentuhan terakhir pembinaan. Kunci akan mula diserahkan pada suku kedua tahun depan," katanya.
Cubic Botanical ialah projek pegangan bebas dan akan menempatkan 1,161 unit pangsapuri servis dan 10 lot kedai dalam dua blok 40 tingkat.
Pembangunan ini diilhamkan oleh persekitaran hijau terutamanya Bukit Gasing dan Taman Rimba dan dikelilingi oleh 200 ekar hutan simpan yang banyak mempengaruhi konsep kehidupan hijaunya, "Tokoh Kehidupan Hijau Pemandangan Kota".
Pemilik rumah boleh memilih susun atur yang sesuai dengan gaya hidup yang menempatkan peralatan elektronik, rumah dan kediaman yang ditandatangani dalam MoU.
Ancubic yakin pembeli akan berpuas hati dengan kediaman mereka yang dilengkapi perabot dan kelengkapan yang berkualiti.
Source: Bharian.com.my