News & Articles TNB, Gamuda bina stesen elektron untuk EV

TNB, Gamuda bina stesen elektron untuk EV


28 Oct 2022
TNB, Gamuda bina stesen elektron untuk EV
Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Gamuda Land, bahagian pembangunan hartanah Gamuda Bhd telah memeterai perkongsian strategik untuk membina dua stesen elektron bagi kenderaan elektrik (EV) di projek hartanahnya di Selangor.

Kedua-dua syarikat itu hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk membangunkan stesen elektron Malaysia di Gamuda Cove, Lembah Klang Selatan serta Gamuda Gardens di Lembah Klang Utara bagi kegunaan komuniti dan pelawat ke taman tema air di Gamuda Cove.

Stesen-stesen tersebut, yang dijadualkan siap menjelang 2025, akan mempercepatkan pembangunan ekosistem dan infrastruktur untuk EV di negara ini, selain menyokong visi kelestarian kedua-dua syarikat.

"Stesen elektron akan datang ini akan dikuasakan oleh panel solar di atas bumbung yang akan membantu mengimbangi elektrik dari grid termasuk menyokong persekitaran yang lebih hijau.

"Stesen pengecasan ini serasi dengan semua kenderaan hibrid, hibrid pemalam serta EV sepenuhnya, ia turut menerima masuk pengecas cepat AC dan DC," kata TNB dan Gamuda Land dalam satu kenyataan bersama.

Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata MOU itu akan membuka jalan bagi firmanya dan Gamuda Land untuk bekerjasama dalam meningkatkan penggunaan EV di Malaysia serta mencapai aspirasi pelepasan sifar negara pada 2050.

"Menyokong percambahan EV adalah sebahagian daripada tonggak peralihan tenaga TNB. Ia sememangnya langkah yang tepat ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi bagi menyediakan pelan induk yang mampan, yang menampilkan reka bentuk yang responsif iklim, pengangkutan bersepadu dan bangunan yang jimat tenaga dengan ciri-ciri pintar," katanya.

Stesen itu akan membolehkan kedua-dua syarikat meningkatkan usaha berterusan mereka untuk mencapai sasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sambil memastikan pertumbuhan perniagaan yang berterusan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Chu Wai Lune berkata kedua-dua syarikat juga akan mengusahakan penerokaan inisiatif tenaga lestari lain di bawah tawaran TNB di perbandaran Gamuda Land.

"Stesen elektron ini akan melengkapkan usaha pengurangan karbon di perbandaran kami seperti penyediaan laluan khusus basikal, pejalan kaki dan e-trams sebagai cara pengangkutan alternatif untuk komuniti kami.

"Dengan ini, kami teruja mempunyai organisasi sependapat seperti TNB yang turut berkongsi agenda hijau kami sebagai rakan kongsi, dalam menyediakan penyelesaian yang lestari kepada komuniti kami," katanya.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia