News & Articles TNB percepat kerja naik taraf pencawang masuk utama Sedenak

TNB percepat kerja naik taraf pencawang masuk utama Sedenak


1 Nov 2022
TNB percepat kerja naik taraf pencawang masuk utama Sedenak
JOHOR BAHRU: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mempercepatkan kerja-kerja menaik taraf pencawang masuk utama (PMU) Sedenak untuk menggerakkan pertumbuhan kawasan perindustrian berhampiran dan pusat data antarabangsa.

Ketua Pembangunan Grid TNB, Dev Anandan, berkata projek itu dijangka menjadi pemangkin kepada aspirasi kerajaan negeri dalam merancakkan kemajuan kawasan Lembah Teknologi Sedenak, merangkumi Sedenak Tech Park (STeP) berkeluasan 7,290 ekar (2,916 hektar) sebagai komponen utama pertumbuhannya.

Katanya, pelaksanaan projek melibatkan dua kontraktor utama iaitu GMO Cables Sdn Bhd dan Auconpro Engineering Sdn Bhd itu diklasifikasikan sebagai kritikal, berimpak tinggi dan 'fast track project' demi memastikan keperluan pelanggan hab data di SteP dipenuhi, stabil dan berdaya saing.

"PMU Sedenak ini berupaya menampung keperluan semasa bekalan elektrik dan TNB merancang untuk memperkukuhkannya dengan projek-projek menaik taraf bagi meningkatkan keupayaannya membekalkan bekalan elektrik pada masa depan.

"Pada masa ini, ada empat lagi permohonan untuk menyalurkan bekalan elektrik yang stabil dan berterusan ke pusat data di negeri Johor, iaitu dua di Nusajaya dan masing-masing satu di Sedenak dan Kulai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dev berkata, PMU Sedenak telah menyalurkan bekalan elektrik kepada pengguna, komersial dan industri termasuk pelanggan terbaru di hab data, Bridge Data Centre (BDC) iaitu anak syarikat peneraju pusat maklumat di China, Chindata Group.

"TNB sentiasa komited untuk memastikan projek-projek pusat data di negeri ini dilaksanakan sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi dengan Johor muncul antara hab data pusat terbesar," menurut kenyataan itu.

Kerja-kerja pembinaan PMU Sedenak dengan kos RM68 juta dan siap pada Ogos 2019 itu dilaksanakan bagi menyokong kegiatan pembangunan ekonomi negeri Johor meliputi kawasan Sedenak, Kulai dan Nusajaya.

TNB turut membelanjakan kos tambahan sebanyak RM1.2 juta untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf pepasangan bagi membekalkan bekalan elektrik kepada Bridge Data Centre pada September lalu.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam lawatan teknikalnya ke PMU Sedenak pada 20 Okt lepas, menzahirkan penghargaan atas inisiatif TNB dalam memastikan kestabilan bekalan elektrik di kawasan pertumbuhan, sekali gus dapat memberi keyakinan tinggi kepada pelabur untuk menyertai rancangan pembangunan ekonomi negeri.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia