PNSB-MGB lancar projek Idaman Melur
KUALA LUMPUR: Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) dengan kerjasama MGB Bhd (MGB) telah melancarkan projek Idaman Melur, salah satu daripada enam projek Rumah Idaman MBI di Galeri Jualan KITA @ Cybersouth.
PNSB adalah anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), sementara MGB adalah anak syarikat LBS Bina Group Bhd.
Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Bhd, Tan Sri Lim Hock San, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Datuk Dr TPr Juhari Ahmad, Pengarah Urusan Kumpulan MGB, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim Lit Chek.
Idaman Melur terletak di Cybersouth, Sepang dan terdiri daripada dua blok pangsapuri 23 tingkat yang dibina di atas tanah berkeluasan 4.8 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM414 juta.
Projek pangsapuri itu dibina berdasarkan tiga variasi reka bentuk dan ditawarkan dengan harga bermula daripada RM250,000.
Idaman Melur merangkumi sejumlah 1,448 unit pangsapuri berkeluasan binaan minimum 1,000 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta dilengkapi penghawa dingin, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen, kabinet televisyen dan pemanas air.
Dalam satu kenyataan, Hock San berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pemaju hartanah yang akan membantu merealisasikan misi kerajaan dalam memastikan rumah-rumah dibina dengan harga yang mampu dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia.
Beliau berkata, dengan pengalaman luas dalam pembinaan, MGB yakin akan dapat membina rumah Rumah Idaman MBI dengan kualiti yang akan menjadi penanda aras untuk rumah mampu milik di Selangor.
"MGB berbesar hati kerana sistem pratuang IBS kami digunakan ke dalam pembinaan pembangunan Rumah Idaman MBI. Ini selaras dengan matlamat kami untuk menjadi penyedia solusi perumahan terkemuka melalui sistem IBS.
"Untuk jangka pendek, matlamat MGB adalah untuk memastikan pelancaran baki projek Rumah Idaman MBI berada di landasan yang betul dan seterusnya akan membawa kepada tempahan yang berterusan pada tahun-tahun mendatang," katanya.
Sementara itu, Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkata, PNSB akan terus merealisasikan Projek Rumah Idaman di kawasan strategik dan berpotensi Negeri Selangor, antaranya di daerah Petaling, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Beliau berkata, dalam 24 projek yang dilaksanakan oleh PNSB, sebanyak 45,760 unit Rumah Idaman bakal dibangunkan bersama rakan strategik, satu usaha yang direalisasikan dengan bantuan dan gandingan tenaga daripada semua pihak.
"Mengimbas kembali projek yang telah dilaksanakan; sebanyak 2,059 unit Idaman Abadi di Kajang 2 telahpun siap manakala 1,260 unit idaman Bukit Jelutong sedang giat dilaksanakan.
"Disebabkan permintaan yang tinggi, unit bagi kedua pembangunan itu kini telah pun habis dijual," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor dalam ucapan perasmiannya berkata, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dan mengambil berat hal ehwal kebajikan rakyat Selangor terutama di dalam penyediaan kemudahan perumahan yang mencukupi, berkualiti, selesa serta kemudahan asas yang lain.
Amirudin berkata, dengan matlamat untuk memperbaiki lagi mutu kehidupan rakyat, lokasi Rumah Idaman Melur yang strategik, dengan harga berpatutan bagi setiap unit dan dilengkapi separa perabot untuk setiap unit telah menjadi tarikan besar kepada pembeli hartanah.
"Kami yakin Rumah Idaman Melur dan lain-lain lokasi projek rumah idaman yang akan dibangunkan bersama oleh PNSB dan LBS Bina Group akan meningkatkan kualiti hidup penduduk Selangor, dan sesuai dengan kehidupan individu kelas pekerja dan keluarga muda," katanya.
Enam projek Rumah Idaman MBI, yang terdiri daripada 7,210 unit rumah mampu milik kesemuanya memanfaatkan teknologi pra-tuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) MGB.
Projek itu akan dibina oleh Konsortium PCSB-MGB, yang mana adalah usaha sama antara MGB dan PNSB Construction Sdn Bhd, anak syarikat PNSB.
MGB menjangkakan untuk melancarkan empat lagi baki projek Rumah Idaman MBI menjelang 2023.
Pendaftaran bagi Idaman Melur boleh dilakukan melalui https://ehartanah.lphs.gov.my/ dan https://mgbgroup.com.my/idaman-melur/.
Source: Bharian.com.my