News & Articles Gamuda dapat kontrak pembinaan RM15 bilion

Gamuda dapat kontrak pembinaan RM15 bilion


11 Nov 2022
Gamuda dapat kontrak pembinaan RM15 bilion
KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM15 bilion, menjadikannya kekal berada di landasan untuk merealisasikan sasaran nilai perolehan kontrak terkumpul berjumlah RM25 bilion bagi dua tahun kewangan sehingga 31 Julai 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling, berkata kontrak terbabit diperoleh daripada pasaran utama pembinaannya iaitu Australia, Taiwan, Singapura dan Malaysia.

"Kami tetap optimis dan berhati-hati mengenai prospek untuk beberapa tahun akan datang.

"Bagaimanapun, kami berada pada kedudukan baik sewajarnya untuk mengharungi cabaran di hadapan didorong langkah strategik kami dalam pelbagai pasaran serantau, kedudukan kewangan yang kukuh dan kebolehlihatan perolehan daripada jumlah nilai perolehan kontrak dan jualan yang belum dimasuk kira," katanya dalam Laporan Bersepadu 2022 Gamuda.

Mengulas mengenai pembangunan hartanah, beliau berkata Gamuda telah mengenal pasti projek yang berasaskan pesanan dan merancang untuk melabur RM5 bilion dalam projek itu bagi beberapa tahun akan datang sebagai pemboleh utama pertumbuhan, dengan tumpuan strategik kepada pengembangan di pelbagai negara lazimnya.

"Menerusi operasi dalam beberapa pasaran strategik, kami meminimumkan risiko perniagaan dengan mengurangkan kesannya jika satu-satu pasaran itu mengalami kelembapan dalam kitaran hartanah mereka," katanya.

Mengenai bahagian konsesi lebuh raya, Yun Ling berkata Gamuda telah menyelesaikan butiran penjualan kepentingan dalam empat lebuh raya kepada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR).

"Pada Oktober 2022, penjualan itu berjaya diselesaikan dan walaupun Gamuda akan kehilangan pendapatan berulang yang tetap susulan penjualan konsesi, kami mula membuat persediaan bagi kemungkinan ini sejak beberapa tahun lalu.

"Oleh itu, kami menjangkakan pendapatan tidak terjejas ekoran penjualan ini kerana pertumbuhan perolehan kami telah dijangka dengan disokong oleh pertumbuhan perolehan yang besar daripada dua perniagaan teras yang lain," katanya.

Beliau berkata, bagi jangka masa panjang, Gamuda merancang untuk melabur dalam tenaga boleh baharu dan vertikal hijau yang lain, yang berpotensi menyumbang kepada garis asas pendapatan berulang untuk syarikat di samping membolehkannya memenuhi komitmen kemampanan.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia