News & Articles Sime Darby Property atasi sasaran jualan RM2.6 bilion

Sime Darby Property atasi sasaran jualan RM2.6 bilion


30 Nov 2022
Sime Darby Property atasi sasaran jualan RM2.6 bilion
KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd merekodkan jualan RM2.7 bilion dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, melepasi sasaran jualan tahun kewangan penuh berjumlah RM2.6 bilion.

Pencapaian yang diraih itu dipacu peningkatan jualan sebanyak 43 peratus tahun ke tahun berbanding RM1.9 bilion yang dicapai dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam tempoh dikaji, Sime Darby Property mencatatkan pendapatan dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.8 bilion dan RM323.1 juta, masing-masing dengan peningkatan sebanyak 21 peratus dan 90 peratus tahun ke tahun.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) juga melonjak melebihi 100 peratus kepada RM212.7 juta.

Sementara itu, pendapatan syarikat pada suku ketiga meningkat 12 peratus kepada RM689.3 juta berbanding suku sebelumnya, didorong oleh kemajuan segmen pembangunan hartanah yang mencatatkan kenaikan pendapatan 13 peratus kepada RM640.6 juta berikutan pencapaian pelan pengurusan simpanan tanah dan kewangan yang kukuh.

Keuntungan kasar syarikat juga meningkat sebanyak lapan peratus tahun ke tahun kepada RM207.5 juta, hasil kecemerlangan segmen pelaburan & pengurusan aset serta rekreasi.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican, berkata kemampuan syarikat untuk mengekalkan momentum penjualan yang tinggi sejak awal tahun sehingga suku ketiga 2022 menyarankan potensi pencapaian pendapatannya menuju penghujung tahun kewangan.

"Meskipun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan di pasaran, syarikat telah berjaya menjana prestasi yang amat memberangsangkan setakat ini. Pelancaran produk kediaman kami menerima sambutan yang tinggi termasuk 'Serenia Anira 3' di Bandar Serenia yang mencapai kadar pembelian sebanyak 80 peratus," katanya.

Sepanjang sembilan bulan 2022, Sime Darby Property melancarkan produk dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.1 bilion merangkumi produk perumahan dan perindustrian dengan kadar 44 peratus dan 55 peratus daripada jumlah GDV yang dilancarkan serta kadar pembelian purata sebanyak 90 peratus.

Diterajui oleh prestasi jualan dan kemajuan pembinaan yang kukuh di perbandaran utamanya, segmen pembangunan hartanah menyumbang dengan peningkatan pendapatan dan PBT, masing-masing sebanyak 19 peratus dan 72 peratus kepada RM1.6 bilion dan RM270.3 juta.

Pendapatan dan PBT segmen pelaburan & pengurusan aset juga meningkat, masing-masing sebanyak 26 peratus dan 48 peratus kepada RM79.3 juta dan RM42.1 juta dengan pencapaian itu didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada KL East Mall yang mencatat kadar penghunian sebanyak 79 peratus berbanding 71 peratus, serta prestasi baik Melawati Mall yang mencatat jumlah pengunjung yang lebih tinggi dalam tempoh dikaji.

Pendapatan segmen rekreasi meningkat sebanyak 66 peratus kepada RM62.8 juta, dengan pencapaian PBT melebihi 100 peratus kepada RM10.7 juta.

Jualan belum dibil Sime Darby Property juga meningkat sebanyak 5.4 peratus suku ke suku kepada RM3.5 bilion setakat 30 September 2022, menandakan peningkatan sebanyak 70 peratus tahun ke tahun dalam tempoh yang sama tahun lalu, sekali gus memastikan keterlihatan pendapatan yang sihat untuk masa akan datang.

Sime Darby Property menjangkakan lebih banyak pelancaran produk perumahan dan perindustrian pada suku keempat 2022, susulan pelancaran produk kediaman bertingkat tinggi di Putra Heights, Selangor dan Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia