News & Articles Sunway Property tawar kadar faedah khas rumah mesra alam

Sunway Property tawar kadar faedah khas rumah mesra alam


21 Dec 2022
Sunway Property tawar kadar faedah khas rumah mesra alam
KUALA LUMPUR: Sunway Property dan Standard Chartered Malaysia memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk kadar faedah keutamaan kepada pelanggan yang membeli hartanah diperakui mesra alam sekitar, sejajar dengan usahanya untuk memajukan komuniti mampan.

Perjanjian itu selaras dengan penambahbaikan syarikat pemaju induk komuniti itu terhadap falsafah panduan 'Sunway Design and Development Architecture' (SDDA) yang menyelitkan elemen Kelestarian, Inovasi, Kesihatan dan Kesejahteraan serta Gaya Hidup & Pengalaman Baharu ke dalam perkembangannya untuk menggalakkan komunitinya hidup lebih sihat, mampan dan gaya hidup holistik.

Di bawah kerjasama itu, pelanggan boleh memohon penyelesaian pembiayaan Green Mortgage Bank yang meliputi projek yang diberi penarafan 'Emas' atau 'Platinum' mengikut penarafan Indeks Bangunan Hijau, GreenRE dan Bangunan serta BCA Green Mark.

Pelancaran Sunway Property Pals+ juga menyediakan pemilik hartanah sekunder dan penyewa dengan penjagaan dan sokongan gaya hidup.

Pengarah Eksekutif Kanan Pembangunan Hartanah Wilayah Tengah Sunway Property, Chong Sau Min, berkata selaras dengan komitmen Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050, Sunway Group komited untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Beliau berkata, syarikat turut menerbitkan Dasar Bangunan Hijau yang menggariskan komitmennya untuk memastikan semua bangunan baharu siap menjelang 2025 dan seterusnya akan diperakui hijau.

"Kami mempercepatkan usaha untuk menyediakan komuniti yang mampan dengan mempertingkat SDDA, dan telah melancarkan Sunway Property Pals+ tahun ini.

"Seperti Standard Chartered, Sunway kekal komited untuk memajukan pembangunan sosial dan ekonomi yang mampan melalui perniagaan, operasi dan komuniti kami.

"Dengan perkongsian ini, kami berharap untuk berkembang secara mampan dan bertanggungjawab bersama-sama sambil menangani cabaran awam terhadap pasaran yang pesat membangun," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien berkata, permintaan yang meningkat bagi pembiayaan hijau menawarkan peluang luas bagi institusi kewangan untuk memperkasakan lebih ramai pelanggan beralih kepada penyelesaian hijau.

"Sebagai balasan, pandangan yang kami peroleh daripada keputusan pembiayaan mereka adalah penting untuk membangunkan penyelesaian baharu bagi memenuhi keperluan kemampanan pasaran," katanya.

Produk dengan kerjasama Sunway Property adalah yang terbaharu dilancarkan oleh bank berkenaan bagi merangsang lebih banyak tindakan dan pembabitannya dalam pembangunan kemampanan.

Awal tahun ini, Standard Chartered Malaysia juga melancarkan produk Simpanan Tetap Mampan yang merujuk dana pelanggan terhadap aset dan projek yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dianggap layak mengikut Rangka Kerja Produk Hijau dan Mampan Bank.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia