News & Articles LBS sasar jualan hartanah RM2 bilion tahun ini

LBS sasar jualan hartanah RM2 bilion tahun ini


12 Jan 2023
LBS sasar jualan hartanah RM2 bilion tahun ini
CYBERJAYA: LBS Bina Group Bhd (LBS) komited mengekalkan prestasi cemerlang yang dicatatkan pada 2022 dengan menyasarkan jualan hartanah RM2 bilion pada 2023 meskipun berdepan persekitaran mencabar.

Pada 2022, pemaju hartanah terkemuka tempatan itu berjaya merekodkan jualan hartanah sebanyak RM2 bilion, 25 peratus lebih tinggi berbanding sasaran sebanyak RM1.6 bilion yang ditetapkan pada tahun lalu.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata bagi 2023, LBS akan melancarkan sebanyak 12 projek baharu yang meliputi kawasan Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.09 bilion membabitkan 4,021 unit hartanah.

Beliau berkata, pemaju hartanah itu akan memberi tumpuan kepada pelancaran 2,118 unit dengan GDV RM1.1 bilion di Lembah Klang, yang secara konsisten berupaya menyumbang jualan tertinggi di sepanjang tahun, khususnya di KITA @ Cybersouth, pembangunan perbandaran utama LBS.

Katanya, kumpulan turut merancang untuk melancarkan antara lain, rumah bersambung satu tingkat, rumah bersambung dua tingkat dan rumah bandar di KITA Bestari, sejumlah 817 unit dengan GDV sebanyak RM418 juta.

"Kami teruja menamatkan 2022 dengan bergaya apabila melepasi sasaran jualan hartanah 2022 sebanyak 25 peratus. Ia pencapaian yang luar biasa dan petunjuk bahawa projek pembangunan kami terletak di lokasi strategik pada julat harga berpatutan yang memenuhi keperluan orang ramai.

"Di samping itu, kami berjaya menyerahkan milikan kosong sebanyak 2,957 unit bernilai RM1.27 bilion di sebalik cabaran getir 2022 dan bergelut dengan ketidaktentuan iklim ekonomi serantau, krisis rantaian bekalan serta ketidaktentuan geopolitik," katanya pada taklimat LBS 2023 di sini, hari ini.

Hock San berkata, ketidaktentuan ekonomi dan pasaran dijangka masih menjadi sebahagian daripada cabaran utama pada 2023.

Beliau berkata, LBS komited untuk memastikan hartanah yang ditawarkannya terus kekal relevan serta mampu dimiliki oleh bakal pembeli rumah.

Katanya, bagi melalui masa yang mencabar, pihaknya amat menghargai dan menyedari kepentingan modal insan yang membawa kumpulan ke hadapan.

"Justeru, LBS mahu meningkatkan kemahiran kakitangan serta memberi tumpuan kepada inisiatif pendigitalan yang terbukti telah membawa LBS ke tahap yang lebih tinggi.

"Selain itu, kami berhasrat untuk memberi ganjaran berterusan kepada pemegang saham selaras dengan dasar dividen kami iaitu membayar 30 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan," katanya.

Pelancaran lain yang dirancang pada 2023 termasuk 155 unit rumah teres dua tingkat Astella di D'Island Residence di Puchong dengan GDV sebanyak RM139 juta dan Blok B, di LBS Prestige Residence, Seri Kembangan yang akan terdiri daripada 725 unit dengan GDV sebanyak RM313 juta.

Projek baharu di Pahang termasuk pangsapuri perkhidmatan Bayu Hills di Genting Highlands (642 unit dengan jumlah GDV RM482 juta) manakala di Perak, LBS berhasrat melancarkan fasa seterusnya di Taman Kinding Flora, Chemor yang terdiri daripada rumah teres satu tingkat (94 unit dengan jumlah GDV RM27 juta), dan rumah rangkaian kluster satu tingkat (90 unit dengan jumlah GDV RM22 juta).

LBS turut mengorak langkah di Johor dengan projek pembangunan termasuk pangsapuri servis Zenit Molek (988 unit dengan jumlah GDV RM436 juta) di Taman Molek, rumah berkembar dua tingkat Imperial Garden (63 unit dengan jumlah GDV RM40 juta), dan rumah bersambung satu tingkat Emerald Garden (26 unit dengan jumlah GDV RM11 juta), di Bandar Putera Indah, Batu Pahat, Johor.

Pada 2022, LBS melancarkan sejumlah 4,910 unit bernilai RM1.63 bilion iaitu pembangunan di seluruh KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Bukit Jalil dan Blok A, Prestige Residence di Seri Kembangan, Lembah Klang.

Selain itu, LBS melancarkan dua projek Rumah Idaman MBI iaitu Idaman BSP (Bandar Saujana Putra) dan Idaman Melur (Cybersouth).

LBS kini mempunyai 18 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran GDV sebanyak RM5.7 bilion.

Setakat 31 Disember 2022, simpanan tanah LBS kira-kira 1,202.72 hektar yang membolehkannya kekal kukuh dalam pasaran hartanah untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia