News & Articles Bina rumah kos rendah bawah RM90,000 di tanah kerajaan

Bina rumah kos rendah bawah RM90,000 di tanah kerajaan


8 Feb 2023
Bina rumah kos rendah bawah RM90,000 di tanah kerajaan
PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dicadang membina rumah kos rendah di bawah RM90,000 di atas tanah kerajaan sebagai tanggungjawab sosial dalam semakan semula Dasar Perumahan Negara (DPN).

Timbalan Ketua Pegawai Operasi 1, MK Land Holdings Berhad (MK Land), Ahmad Soalahuddin Al-Thani berkata, cadangan tersebut bertujuan untuk membolehkan kerajaan menyediakan pilihan rumah kos rendah.

“Langkah ini bertujuan menyediakan pilihan rumah kos rendah kepada isi rumah berpendapatan rendah dengan membina rumah yang mampu dimiliki oleh penduduk yang disasarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ahmad Soalahuddin, langkah berkenaan merupakan salah satu cadangan syarikat hartanah berkenaan kepada KPKT susulan pengumuman kajian semula DPN berdasarkan rangkuman intisari MADANI.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan subsidi faedah pinjaman perumahan untuk pembeli rumah kali pertama di bawah kategori B40 dan M40.

Katanya, ia bertujuan memudahkan pembeli rumah kali pertama memiliki dan membeli kediaman mereka dengan kos pinjaman dan komitmen bulanan lebih rendah.

“Kerajaan juga harus menyediakan pinjaman baki beza pinjaman bank kepada pembeli B40 yang layak dengan tujuan menyediakan bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mengawal harga bahan mentah sebagai langkah mengawal kos bahan mentah yang digunakan dalam pembinaan untuk menjadikan kos perumahan lebih mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah khususnya,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar pemaju diberi peluang oleh kerajaan untuk memindahkan keperluan pembinaan rumah mampu milik kepada kawasan tanah yang mempunyai permintaan lebih tinggi atau kos infra dan nilaian tanah yang lebih rendah.

Jelas beliau, ia untuk mengoptimumkan penggunaan sumber tanah dengan membenarkan pemaju memindahkan keperluan rumah mampu milik.

“Kerajaan juga perlu memberi rebat cukai dan pengecualian caj pembangunan apabila pemaju membina rumah mampu milik dengan menyediakan insentif kewangan kepada pemaju yang membina rumah mampu milik,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Soalahuddin berkata, sebagai pemaju hartanah tempatan MK Land berharap agar dapat turut bersama menyumbang kepada kajian semula DPN sedia ada oleh KPKT.

“Kami yakin berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri ini, kami mempunyai pandangan dan input berharga dalam pasaran perumahan tempatan yang boleh kami kongsikan dengan pihak Kerajaan dan sekaligus menyumbang kepada proses semakan DPN ini,” katanya. – UTUSAN

Source: Utusan.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia