News & Articles Harga simen, besi semakin meningkat

Harga simen, besi semakin meningkat


8 Feb 2023
Harga simen, besi semakin meningkat
PUTRAJAYA: Indeks harga seunit bagi beberapa bahan seperti simen, besi dan bahan bumbung untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak terus menunjukkan peningkatan pada Januari 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata indeks harga seunit simen meningkat 2.6 peratus pada Januari 2023 berbanding Disember 2022, peningkatan tiga bulan berturut-turut.

Beliau menjelaskan bahawa peningkatan harga bahan mentah dan arang batu serta kos penghantaran yang lebih tinggi adalah penyumbang utama terhadap kenaikan harga dalam pasaran simen di Malaysia.

Katanya, indeks harga seunit besi pula mencatatkan peningkatan 1.0 peratus berbanding Disember 2022, seiring dengan peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global.

"Menurut Trading Economics, harga besi dijangka akan meningkat. Ini berikutan pemulihan aktiviti kilang China pada Januari selepas penguncupan tiga bulan berturut-turut seperti yang dilaporkan oleh The China National Bureau of Statistics Manufacturing Purchasing Manager Index.

"Selain itu, penamatan dasar sifar COVID-19 di China dan pelbagai inisiatif untuk merangsang aktiviti pembinaan dijangka memperkukuh sektor hartanah dan permintaan perumahan.

"Jangkaan ini seterusnya akan meningkatkan permintaan untuk input pembinaan dan perindustrian yang menggunakan bahan daripada bijih besi serta besi," katanya dalam kenyataan siaran khas untuk kerja-kerja pembinaan bangunan dan struktur Januari 2023 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Persatuan Keluli Dunia melalui Tinjauan Jangka Pendek (SRO) bagi 2022 dan 2023 menyatakan bahawa permintaan besi pada tahun ini dijangka merekodkan pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus.

Tambahan pula, Tinjauan Keluli Global 2023 diterbitkan oleh Fitch Ratings menjangkakan pertumbuhan tambahan dalam penggunaan keluli pada 2023 bagi pasaran seperti India, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat (AS).

Laporan itu juga menyatakan bahawa antara faktor yang mempengaruhi penawaran dan permintaan jangka pendek dalam pasaran keluli termasuk evolusi pasaran hartanah China dan pelonggaran

penutupan di negara itu.

Isu geopolitik seperti tekanan perdagangan berterusan akibat perang di Ukraine dan sekatan terhadap Rusia, dan ketegangan perdagangan AS-China mungkin akan turut memberi kesan kepada pasaran keluli.

Perbandingan tahun ke tahun indeks harga seunit bahan binaan pula mencatatkan peningkatan antara 0.7 hingga 11.4 peratus pada Januari 2023 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Indeks harga bagi seunit bagi besi dan simen masing-masing meningkat 1.4 peratus dan 9.3 peratus bagi Januari 2023 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Mohd Uzir menambah, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan 'Mycon 60 high tensile deformed bars' adalah RM3,599.37 bagi setiap tan metrik, meningkat 0.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

"Purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan peningkatan 3.4 peratus iaitu RM21.66 bagi setiap 50 kilogram berbanding RM20.95 bagi setiap 50 kilogram pada Disember 2022.

"Manakala, purata harga pasir kekal tidak berubah iaitu RM36.32 satu tan metrik," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia