News & Articles Pelajar sekolah, OKU tak perlu lagi bayar tambang KTMB [METROTV]

Pelajar sekolah, OKU tak perlu lagi bayar tambang KTMB [METROTV]


17 Feb 2023
Pelajar sekolah, OKU tak perlu lagi bayar tambang KTMB [METROTV]
Kuala Lumpur: Murid tahun satu hingga pelajar tingkatan enam dan Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak perlu lagi membayar tambang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bermula semalam.

Perkhidmatan percuma yang diperkenalkan menerusi Inisiatif MyRailLife itu boleh digunakan tanpa had bagi perkhidmatan KTM Komuter sektor Lembah Klang, Utara dan Perkhidmatan Shuttle Timuran.

Bagi KTM Komuter sektor Lembah Klang, ia terdiri daripada laluan Pulau Sebang - Batu Caves - Pulau Sebang dan laluan Pelabuhan Klang - Tanjung Malim- Pelabuhan Klang.

Sementara, bagi perkhidmatan Komuter sektor tara laluan Padang Rengas - Butterworth - Padang Rengas dan laluan Butterworth - Padang Besar - Butterworth. Perkhidmatan tren KTM Shuttle Timuran (DMU) ialah bagi sektor laluan Gemas - Tumpat - Gemas.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, selain memanfaatkan pelajar sekolah dan OKU, pas percuma itu dapat meringankan beban kewangan ibu bapa selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengawal kos sara hidup.

"Perkara ini saya umumkan pada 20 Januari lalu di mana bagi pihak kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan mengambil inisiatif khusus untuk meringankan beban perbelanjaan pengangkutan kepada semua pelajar sekolah dan kepada golongan OKU untuk terus menikmati pengangkutan awam khususnya perkhidmatan tren yang disediakan oleh KTMB secara percuma.

"Contohnya, jika sebelum ini seorang OKU yang menetap di Alor Setar dan bekerja di Butterworth menaiki perkhidmatan komuter pergi dan balik dari Stesen Alor Setar ke Butterworth, perlu membelanjakan tambang perjalanan RM7.20 sehari. Di mana beliau perlu memperuntukkan RM180 sebulan untuk kos pengangkutan. Kini, tidak lagi.

"Kementerian Pengangkutan amat komited terhadap agenda kerajaan untuk mengawal kos sara hidup. Diharapkan langkah ini bukan saja dapat memanfaatkan pelajar sekolah dan OKU tetapi juga meringankan beban kewangan ibu bapa yang menampung kos pengangkutan anak-anak mereka," katanya pada Sidang Media Pelancaran Pas MyRailLife di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pas MyRailLife itu sah digunakan antara stesen mula dan stesen destinasi yang dicatatkan dan boleh digunakan tanpa had dalam tempoh sahguna itu.

"Bagi menikmati faedah ini, pengguna yang layak perlu mendaftar dengan KTMB untuk mendapatkan nombor Passenger Name Record atau PNR terlebih dulu. Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi KITS (KTMB Mobile) atau melayari laman sesawang KTM.

"Pas hanya boleh digunakan oleh penumpang yang namanya dicatatkan dan tidak boleh dipindah milik," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta juga ibu kepada empat cahaya mata, Wan Nurul Syahidda Mohd Taupek, 40, berkata, inisiatif itu disambut baik selain dapat meringankan beban.

"Saya ada empat anak, seorang sekolah menengah, dua sekolah rendah dan seorang lagi belum sekolah. Sebagai ibu bapa, saya sangat hargai inisiatif ini.

"Macam saya, memang setiap Jumaat akan pulang ke rumah ibu bapa di Klang menaiki tren komuter. Anak-anak suka sebab tak perlu bersesak di jalan raya. Jadi, apabila tambang sudah percuma saya dah boleh jimat RM15 seminggu untuk tambang tren. Terima kasih kerajaan atas keprihatinan ini," katanya.

OKU cacat penglihatan, Mohd Shahir Ramli, 33, berkata, dia sudah menggunakan perkhidmatan tren KTM sejak lapan tahun lalu.

"Saya 95 peratus memang dengan pengangkutan awam. Dengan KTM sudah lapan tahun, dari belajar sampai bekerja. Sebelum ini selama lebih tiga tahun saya berulang-alik dari Rembau ke Kuala Lumpur (KL). Sekarang, dari Pantai Dalam ke KL.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan tambang percuma kepada OKU dan pelajar sekolah," katanya.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia