News & Articles 43 peratus pemilik rumah di Malaysia berminat jadi hos Airbnb

43 peratus pemilik rumah di Malaysia berminat jadi hos Airbnb


20 Feb 2023
43 peratus pemilik rumah di Malaysia berminat jadi hos Airbnb
KUALA LUMPUR: Kira-kira 43 peratus daripada pemilik rumah di Malaysia mempertimbangkan untuk menjadi hos di Airbnb bagi memanfaatkan sektor pelancongan yang semakin memulih, berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh YouGov.

Ketua Dasar Awam untuk Airbnb di Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh, berkata data terkini Airbnb mendedahkan bahawa platform itu mempunyai sejuta 'Superhost' di seluruh dunia dengan purata penarafan keseluruhan sebanyak 4.8 atau lebih berdasarkan ulasan tetamu sepanjang tahun lalu.

Katanya, rakyat Malaysia memberi perkhidmatan dan menawarkan hospitaliti terbaik kepada tetamu Airbnb apabila lebih 13 peratus daripada semua hos ialah 'Superhost'.

"Dengan menjadi hos ia membantu lebih ramai pemilik kediaman di seluruh dunia menyara kehidupan dan menjana pendapatan tambahan," katanya dalam taklimat media Airbnb, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Goh berkata kerajaan perlu memperkenalkan segera garis panduan aktiviti penginapan sewaan jangka pendek (STRA) di Malaysia kerana kelewatan berbuat demikian akan memberikan impak kepada proses pemulihan industri pelancongan dan ekonomi rakyat.

Kesan kepada pengusaha inap desa
Beliau berkata, kelewatan berbuat demikian akan memberi kesan kepada pengusaha inap desa bukan saja yang berdaftar dengan Airbnb, tetapi pengusaha lain yang terbabit.

Katanya, tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang pada tahun lalu yang mencadangkan garis panduan terhadap badan pengurusan bersama (JMB) tempatan melaksanakan had ketat terhadap aktiviti STRA turut berpotensi menjejaskan punca pendapatan sekiranya digubal dan dikuatkuasakan pada tahun ini.

"Kami berharap kerajaan dalam Belanjawan 2023 dapat memikirkan mengenai perkara ini demi kesejahteraan keseluruhan industri.

"Airbnb juga menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mempertimbangkan semula draf cadangan berkenaan kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan proses pemulihan industri pelancongan dan ekonomi di negeri berkenaan," katanya.

Goh berkata, Pulau Pinang adalah destinasi paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia di mana Georgetown menduduki tempat teratas bagi destinasi domestik yang paling banyak dicari di Airbnb pada 2022.

Justeru, beliau berkata langkah kerajaan negeri menerusi garis panduan yang dicadangkan boleh menjejaskan pemulihan perjalanan domestik dan antarabangsa selain memberi kesan pada pertumbuhan pekerjaan di Pulau Pinang dalam jangka panjang.

Tambahan pula, katanya, industri pelancongan berada dalam trend meningkat selain kehadiran semula pelancong dari China.

"Kami menggesa supaya terdapat garis panduan yang adil dan praktikal kerana ia penting berikutan STRA yang terus mendapat permintaan," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia