News & Articles KL East Park mula dibuka kepada umum

KL East Park mula dibuka kepada umum


20 Feb 2023
KL East Park mula dibuka kepada umum
KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd secara rasmi membuka taman ekologi seluas 53 ekar, KL East Park yang mengandungi hutan hujan sekunder yang tumbuh secara semulajadi dan spesies unik serta formasi geologi yang amat cantik.

Terletak di dalam perbandaran KL East yang dibangunkan oleh pemaju hartanah itu, KL East Park menawarkan pengunjung peluang untuk meneroka tarikan semulajadi, memandangkan sambungannya ke Bukit Tabur serta Permatang Kuarza Klang Gates yang terkenal sebagai pembentukan kuarza yang terpanjang di dunia.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Sime Darby Property, Datuk Ir Mohd Idris Abdullah, berkata bagi fasa pertama, pengunjung akan mempunyai akses ke taman seluas 17 ekar dan boleh mendaki laluan sejauh dua kilometer ke lokasi tumpuan yang menawarkan pemandangan menakjubkan mercu tanda ikonik Kuala Lumpur.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan taman itu semalam, beliau berkata KL East Park adalah sebahagian daripada komitmen syarikat bagi melindungi biodiversiti di samping menggalakkan keterangkuman dan pembinaan semula ruang untuk masa depan yang lestari termasuk usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam sumbangannya kepada komuniti.

"Syarikat mempunyai komitmen yang kukuh untuk membangunkan projek-projek yang mesra rakyat serta alam sekitar dan kami terbuka kepada penyelesaian inovatif yang akan mempercepatkan penciptaan kehidupan masa depan yang meningkatkan kualiti hidup, yang terkait dengan alam semulajadi," katanya.

Syarikat itu menanam lebih daripada 300 spesies pokok, herba, pokok renek dan sawit, semuanya terkenal dengan nilai ekologi serta ekonomi di taman itu termasuk ditandai secara geografi untuk memudahkan pemuliharaan dan rujukan.

KL East Park adalah lanjutan daripada tawaran Sime Darby Property kepada pemilik hartanahnya di The Ridge, The Veo termasuk pembeli hartanah masa depan di KL East.

Pembangunan perbandaran bersepadu bandar seluas 153 ekar berkenaan boleh diakses melalui pelbagai lebuh raya iaitu Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya Karak, Ekspres Duta-Ulu Kelang (DUKE), Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-KL (AKLEH).

KL East Park dibuka setiap hari dari 7 pagi hingga 6.30 petang dan kemasukannya adalah percuma sehingga 31 Ogos 2023, selepas itu bayaran akan dikenakan untuk memastikan pemuliharaan flora serta fauna jangka panjang taman itu.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mengunjungi http://www.kleastpark.com.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia