Andaman Island perbandaran bersepadu terbesar di Malaysia
KUALA LUMPUR: Eastern & Oriental Bhd (E&O) yakin projek perbandaran bersepadu Andaman Island dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM60 bilion bakal menyumbang kepada prestasi kewangan kumpulan dalam tempoh 30 tahun akan datang.
Andaman Island, pulau buatan berkeluasan 291 hektar di Pulau Pinang itu akan menjadi projek perbandaran bersepadu terbesar di Malaysia oleh pemaju hartanah tunggal.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan E&O, Datuk Tee Eng Ho, berkata projek pembangunan di Andaman Island akan memberikan sumbangan ketara kepada pendapatan kumpulan sekitar RM1 bilion setiap tahun.
Beliau berkata, ketika ini sebanyak 102 hektar telah dibangunkan bagi fasa satu membabitkan pembinaan apartmen The Meg yang mempunyai 1,020 unit dengan GDV sebanyak RM647 juta.
"The Meg akan menjadi pembinaan hartanah pertama di Andaman Island. Ketika ini jualan The Meg adalah sangat memberangsangkan dengan hampir 100 peratus pembeli tempatan.
"Selepas itu kita akan meneruskan dengan melancarkan projek rumah teres sebelum diteruskan dengan pembangunan komersial dalam tempoh dua tiga tahun akan datang," katanya selepas taklimat media prestasi kewangan suku ketiga 2023 E&O di sini, hari ini.
Eng Ho berkata, pulau buatan itu juga akan menjadi tarikan terbaharu di Pulau Pinang kerana kumpulan merancang untuk mempelbagaikan kemudahan yang ada seperti bangunan komersial, riadah dan hotel.
Beliau berkata, Andaman Island juga dijangka mula menerima pembelian daripada pembeli asing bermula pada penghujung tahun ini disebabkan pemulihan ekonomi yang berlaku kini di kebanyakan negara.
"Andaman Island akan memberikan satu tarikan baharu kepada Pulau Pinang untuk dijadikan kediaman dan riadah. Malah harga satu meter persegi tanah di Andaman Island juga masih rendah berbanding kawasan utama di Georgetown," katanya.
Mengenai cabaran yang dihadapi industri pembinaan ketika ini, Eng Ho berkata, kenaikan berterusan harga barang mentah dan isu bekalan pekerja perlu dihadapi bukan saja E&O, tetapi kebanyakan pemaju hartanah utama lain.
Beliau berkata, harga barang mentah meningkat sekitar 30 peratus dalam tempoh setahun ini, sekali gus memberikan tekanan kepada pemaju hartanah untuk mengekalkan harga jualan.
Katanya, walaupun berdepan dengan lonjakan yang ketara, E&O masih mampu mengawalnya tetapi pada masa yang sama tidak dapat menolak terpaksa menaikkan harga jualan hartanahnya.
"Ada kenaikan, tetapi kita masih cuba kekalkan di bawah 10 peratus. Malah, peningkatan itu juga tidak secara drastik, ia perlu sedikit demi sedikit.
"Mengenai isu pekerja pula, ia semakin pulih dan dijangka akan kembali ke paras sebelum pandemik dalam tempoh terdekat. Ini adalah isu yang berada di luar kawalan kita. Kita tidak dapat mengawalnya dan hanya perlu melaksanakan operasi dengan lebih cekap," katanya.
Source: Bharian.com.my