News & Articles Yayasan My First Home realisasi impian belia miliki rumah

Yayasan My First Home realisasi impian belia miliki rumah


3 Mar 2023
Yayasan My First Home realisasi impian belia miliki rumah
KUALA LUMPUR: Yayasan My First Home (YMFH), yang diasaskan hartawan Tan Sri Vincent Tan, membantu tiga anak muda memiliki rumah sendiri dengan membiayai kediaman mereka dengan pemaju.

Pengurus Besar YMFH, Nambee Ashvin Nambiar, berkata tiga anak muda berusia 23 hingga 29 tahun itu pada mulanya mendaftar untuk skim rumah mampu milik dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan ditawarkan projek Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh berharga RM42,000 pada tahun 2020.

Bagaimanapun, katanya ketiga-tiganya gagal mendapatkan pinjaman perumahan daripada mana-mana institusi kewangan dan menyebabkan mereka terpaksa menolak tawaran itu walaupun setelah mengemukakan banyak rayuan dengan pihak bank.

"Pada penghujung 2022, LPHS menghubungi kami dan bertanya sama ada YMFH berminat untuk membantu pembeli ini.

"Kami segera bertindak atas permohonan mereka dengan menulis surat kepada LPHS menunjukkan kami akan menyokong pembeli dengan membiayai pembelian rumah.

"Kami kemudian menghubungi pemaju untuk mencari penyelesaian untuk mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Nambee, mereka bertuah kerana pemaju, Sabna Development Sdn Bhd berkongsi nilai yang sama seperti YMFH untuk membantu rakyat Malaysia dalam kategori B40 untuk memiliki rumah.

"Jika semua pihak berkepentingan dalam ekosistem seperti bank, pemaju, dan pihak berkuasa perumahan awam negeri, boleh bersama-sama membantu mereka yang mahu membeli rumah tetapi gagal mendapatkan pinjaman perumahan, saya percaya bahawa kita akan dapat membuat kemajuan dalam menangani isu pemilikan rumah mampu milik di Malaysia.

"Semua orang memerlukan ruang selamat yang dipanggil rumah, dan kerana mereka masih muda, mereka juga ingin memulakan keluarga mereka sendiri tidak lama lagi dan perlu mempunyai rumah sendiri, maka kerana itu Lembaga YMFH menyokong permohonan tiga anak muda ini," katanya.

Beliau menambah, inisiatif itu akan menjadi yang kedua seumpamanya di bawah YMFH.

"Tahun lalu YMFH membantu enam pemohon dalam kategori setinggan yang juga gagal mendapatkan pinjaman perumahan.

"Dengan pemohon baharu ini, YMFH berharap dapat menghubungi lebih ramai pemaju dan pihak berkuasa perumahan untuk bekerjasama dengan mereka dalam membantu lebih ramai rakyat Malaysia dalam kategori rentan ini untuk memiliki rumah pertama mereka.

"Kami menyasarkan untuk membantu seramai 150 rakyat Malaysia tahun ini dalam kategori ini, dan jika sesiapa di luar sana mempunyai masalah mendapatkan pinjaman perumahan di bawah kategori rumah kos rendah atau dalam kategori setinggan, sila hubungi kami untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia