Unjur 800,000 pengunjung setahun
Kuala Lumpur: Pemaju hartanah, Gamuda Land yakin projek perbandarannya, Gamuda Cove yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM20 bilion terus menjadi daya tarikan utama pelancong bukan saja tempatan, bahkan luar negara.
Pengarah Eksekutif Hartanah Komersial Gamuda Land, Larissa Chan berkata, dibangunkan di atas tanah seluas 620 hektar bersebelahan Paya Indah Discovery Wetlands dan hutan simpan utara Kuala Langat dan Cyberjaya, pelan induk Gamuda Cove terdiri daripada tarikan kediaman, komersial dan alam semula jadi.
"Kami memperluas kedudukan kami dalam perniagaan Riadah dan Hospitaliti yang memfokuskan rekreasi, hiburan, sukan dan pelancongan (REST), termasuk ekopelancongan, sukan, aktiviti riadah dan tidak lama lagi, pengurusan hotel, peruncitan gaya hidup dan edisi terkini Taman Air SplashMania menjadi antara tarikan utama Gamuda Cove.
"Dengan keluasan tanah 620 hektar dan anggaran 100,000 penduduk, pelan induk Gamuda Cove terdiri daripada 25 peratus kediaman, 24 peratus komersial, 28 peratus infrastruktur, 16 peratus taman dan kawasan lapang (termasuk 24.28 hektar Central Park dan 36.42 hektar Forest Park) serta tujuh peratus kemudahan lain.
"Beberapa tarikan utama di Gamuda Cove selesai dalam tempoh akan datang antaranya Taman Air SplashMania, Wetlands Arboretum (2023) dan Lebuhraya Cyberjaya bebas tol (2024).
"Bagi Taman Air SplashMania ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Gamuda Cove, tetapi komuniti sekitarnya dan Malaysia secara amnya dengan unjuran 800,000 pengunjung tahunan," katanya.
Menurutnya, taman air itu juga memanfaatkan aktiviti riadah dan ekopelancongan lain yang dicipta di Gamuda Cove untuk menarik pengunjung, seperti Discovery Park dan Paya Indah Discovery Wetlands.
Katanya, inisiatif lain menarik pelawat termasuk kerjasama dengan agensi pelancongan untuk mengatur pakej pelancongan istimewa.
"Kami jangka satu lagi gelombang ketibaan pelancong, sama seperti ketika sempadan negara kita dibuka semula pada April 2022, di mana Persatuan Pelancongan Masuk Malaysia (Mita) menjangkakan sejuta pelancong China melawat negara tahun ini," katanya.
Selain SplashMania, pihaknya juga membangunkan Discovery Park untuk menyokong aktiviti pelancongan dan riadah di Gamuda Cove.
Discovery Park menawarkan pengalaman pengembaraan yang menampilkan Cove Aerobar, Goosebumps Rope Course, Beach Pool Club, pengalaman makanan dan minuman terpilih dan banyak lagi.
"Pada masa sama, kami bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menguruskan Paya Indah Discovery Wetlands yang menampilkan 449.60 hektar, tanah lembap semula jadi di mana pengunjung boleh menikmati pelayaran matahari terbenam, safari, memberi makan haiwan, berkhemah di tepi tanah lembap, memancing, menunggang kuda, berbasikal, burung dan banyak lagi," katanya.
Source: Hmetro.com.my