News & Articles Angkasa sasar 200 cawangan Coop Hardware menjelang 2025

Angkasa sasar 200 cawangan Coop Hardware menjelang 2025


15 Mar 2023
Angkasa sasar 200 cawangan Coop Hardware menjelang 2025
SHAH ALAM: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) menyasar untuk membangunkan 200 cawangan koperasi pembekal bahan binaan (Coop Hardware) di bawah satu konsortium menjelang 2025.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, berkata inisiatif berkenaan bertujuan menawarkan bahan asas pembinaan perumahan dengan harga sehingga 15 peratus lebih murah berbanding pasaran sedia ada.

Katanya, sasaran itu selaras dengan usaha pihaknya dalam membantu mengurangkan kos bahan binaan sektor hartanah tempatan.

"Setakat ini, sebanyak 20 cawangan Coop Hardware berdaftar sudah beroperasi di seluruh negara, justeru kami menyasarkan 180 lagi menjelang 2025 menjadikan keseluruhan 200 cawangan.

"Angkasa bertindak sebagai platform kepada koperasi itu membeli bahan binaan secara pukal dengan pembekal luar negara sekali gus dapat menjualnya dengan harga murah," katanya selepas melancarkan Projek Perumahan Mampu Milik Tulip Residence di Denai Alam di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi Coop Hardware, koperasi berupaya mengurangkan kos bahan binaan yang kian meningkat seperti besi, simen dan paku.

Sementara itu, projek pembinaan pangsapuri 32 tingkat bagi warga koperasi itu membabitkan usaha sama antara Koperasi Perumahan Awam Malaysia Bhd (Kopama) dan Chester Denai Alam Sdn Bhd.

Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) projek yang dijangka siap pada 2025 itu dimeterai antara Pengerusi Kopama, Datuk Abd Rahim Hashim dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Chester, Datuk Howard Chew.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, Coop Hardware turut membantu menyediakan rumah atau permis perniagaan kepada ahli koperasi pada harga lebih mampu milik.

"Selain mewujudkan konsep 'rent to own', ia berkonsepkan pembiayaan Musyarakah Mutanaqisah yang mana perkongsian pemilikan rumah antara ahli dan koperasi sehingga pinjaman diselesaikan sepenuhnya.

"Tempoh pembiayaan itu akan dipanjangkan sehingga generasi kedua berdasarkan keanggotaan koperasi mereka," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia