News & Articles Pavilion Bukit Jalil setuju dibeli pada harga RM2.2 bilion

Pavilion Bukit Jalil setuju dibeli pada harga RM2.2 bilion


23 Mar 2023
Pavilion Bukit Jalil setuju dibeli pada harga RM2.2 bilion
KUALA LUMPUR: Pemegang unit Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) bersetuju untuk mengambil alih Pavilion Bukit Jalil Mall dengan harga RM2.2 bilion.

Pengurus Pavilion REIT, Pavilion REIT Management Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata, persetujuan oleh pemegang unit itu juga menyaksikan kelulusan dua tawaran saham persendirian untuk membiayai sebahagian daripada pembelian berkenaan membabitkan RM720 juta tranche yang dijangka selesai pada suku kedua tahun ini dan RM550 juta tranche yang dijangka selesai selewat-lewatnya menjelang suku kedua 2025.

Harga terbitan unit baharu itu akan ditentukan kemudiannya menerusi proses penetapan harga manakala baki selebihnya akan dibiayai menerusi pinjaman bank, katanya.

Tahap kadar hutang Pavilion REIT akan meningkat daripada 33.8 peratus pada 31 Disember 2022, kepada 36.8 peratus selepas kedua-dua tawaran saham persendirian itu selesai.

Menurutnya, angka itu masih berada di bawah had tahap kadar hutang pada 50 peratus seperti yang dibenarkan di bawah garis panduan REIT tersenarai, yang akan menyediakan peluang kepada Pavilion REIT untuk meneroka pengambilalihan yang berpotensi.

Pengurus itu berkata, pasca tawaran saham persendirian kedua-dua tranche itu, pemegang unit akan menyaksikan kecairan dalam pegang unit pemegang unit utamanya, yang akan menambah baik kecairan dagangan dan memberi manfaat kepada pelabur runcit.

Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT Management, Datuk Philip Ho berkata, pengambilalihan itu adalah bukti kualiti aset dan kekuatan jenama Pavilion.

Ia juga menunjukkan keyakinan pemegang unit Pavilion REIT terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang ekonomi Malaysia, katanya.

Pengambilalihan itu kali pertama diumumkan pada 22 November 2022 dengan pemegang amanah Pavilion REIT, MTrustee Bhd akan membeli gedung beli belah itu dan semua aset serta hak berkaitan daripada Regal Path Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Malton Bhd.

Pembelian itu dijangka meningkatkan asas portfolio Pavilion REIT kepada RM 8.3 bilion daripada RM 6 bilion dan menyediakan peluang pertumbuhan masa depan bagi amanah itu.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia