News & Articles Hartanah di Johor dapat sambutan hebat rakyat Singapura

Hartanah di Johor dapat sambutan hebat rakyat Singapura


28 Mar 2023
Hartanah di Johor dapat sambutan hebat rakyat Singapura
KUALA LUMPUR: Hartanah di Johor mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli Singapura dengan menerima banyak pertanyaan baharu pada masa ini berbanding suku terakhir tahun lalu, demikian menurut Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata pertanyaan pembeli Singapura di Johor Bahru telah meningkat sebanyak 20 peratus pada Mac berbanding dengan suku Disember 2022.

Beliau berkata, pihaknya percaya permintaan itu akan terus kukuh sepanjang tahun ini, dengan sambungan transit baharu dalam pembinaan, menyaksikan lebih ramai orang berbanding sebelumnya akan melintasi sempadan dalam kehidupan seharian mereka.

"Menjelang akhir dekad, kami percaya bilangan orang yang tinggal di Johor dan perjalanan pulang ke Singapura untuk bekerja setiap hari boleh meningkat sebanyak satu pertiga," katanya dalam satu kenyataan.

Kashif berkata, pembeli Singapura berkeluarga yang mempunyai dua anak mencari rumah kedua di bahagian Horizon Hills Johor dan mereka boleh membeli banglo mewah dengan harga RM2 juta hingga RM3 juta, bersamaan kurang daripada S$900,000 berdasarkan kadar tukaran terkini.

"Anda boleh mendapatkan studio atau kondominium satu bilik tidur di Singapura untuk harga itu. Sementara suami akan terus bekerja di Singapura, isteri akan tinggal di Johor, yang mana anak-anak akan bersekolah di sekolah antarabangsa.

"Terdapat dua faktor pendorong di sebalik peningkatan pembeli Singapura suku ini iaitu wang dan sambungan transit baharu yang dijanjikan," katanya.

Ansari berkata, pembeli Singapura tertarik ke Johor kerana mata wang mereka yang kukuh, harga hartanah yang agak berpatutan dan kos sara hidup yang lebih rendah.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan ringgit, dolar Singapura hari ini mempunyai lebih lima peratus kuasa beli berbanding awal bulan lalu dan lebih 40 peratus berbanding dengan paras terendah 10 tahun.

"Banglo RM2 juta hari ini berharga bersamaan dengan kira-kira S$588,000. Awal bulan lalu, berdasarkan kadar pertukaran, hartanah yang sama itu adalah sekitar S$625,000.

"Tempoh 10 tahun dulu, harganya ialah S$833,000. Hartanah Malaysia telah menjadi lebih berpatutan untuk sesiapa saja yang mempunyai dolar Singapura," katanya.

Ansari berkata, Johor adalah pasaran perumahan ketiga paling mahal di Malaysia, dengan harga rumah median sebanyak RM320,000.

Beliau berkata, walaupun jauh lebih tinggi berbanding harga rumah median nasional RM320,000, ia adalah jauh lebih berpatutan berbanding purata Singapura.

"Purata harga rumah di Singapura ialah S$2 juta, atau kira-kira RM6.7 juta, iaitu enam kali ganda lebih tinggi berbanding harga median rumah di Johor.

"Kepada pembeli dari Singapura, pembelian di Johor membolehkan mereka membeli lebih banyak ruang, pemandangan yang lebih baik dan tanah yang mereka tidak mampu di tanah air," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia