News & Articles Kriteria baharu bakal lonjak permintaan Rumah Mesra Rakyat

Kriteria baharu bakal lonjak permintaan Rumah Mesra Rakyat


18 Apr 2023
Kriteria baharu bakal lonjak permintaan Rumah Mesra Rakyat
KOTA BHARU: Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) menjangkakan permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan meningkat pada tahun ini.

Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa, berkata jangkaan peningkatan itu didorong oleh kriteria terbaharu syarat permohonan bagi RMR yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, baru-baru ini.

"Peningkatan had kelayakan pendapatan bulanan rumah yang layak memohon dari RM3,000 kepada RM5,000 bakal membuka peluang yang lebih besar kepada rakyat yang layak untuk memiliki rumah sendiri melalui Program RMR ini.

"Justeru, kepada yang berminat dengan program RMR ini, permohonan boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman portal rasmi SPNB di pautan www.spnb.com,my," katanya.

Husam yang dilantik sebagai Pengerusi SPNB pada 22 Mac lalu mengadakan lawatan kerja pertama ke Kelantan.

Lawatan selama dua hari itu dimulakan dengan sesi taklimat oleh Mejar (B) Ismail Hassan selaku Pengarah Wilayah (Timur) SPNB di Pejabat Cawangan SPNB Kelantan dan diteruskan dengan program beramah mesra bersama seluruh warga kerja cawangan Kelantan.

Husam kemudian hadir ke Sesi Penyerahan Kunci RMR bagi menyempurnakan acara penyampaian kunci rumah kepada enam penerima dari kawasan Parlimen Kubang Kerian dan Kota Bharu.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2002 sehingga 16 April 2023, SPNB berjaya membina sebanyak 8,877 unit RMR di negeri Kelantan.

SPNB sentiasa memberikan komitmen bagi memastikan projek-projek penyediaan perumahan kepada seluruh rakyat di bawah seliaan KPKT diberi keutamaan dalam memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan seluruh rakyat menerusi kerangka Malaysia Madani.

Antara syarat kelayakan yang lain bagi pemohonan RMR adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 18 sehingga 65 tahun.

Pemohon dan pasangan tidak memiliki rumah sendiri atau memiliki rumah usang dan tidak sempurna.

Tanah atau tapak cadangan mestilah bersesuaian dan bebas daripada gadaian/bebanan/sekatan ke atasnya.

Jika pemohon bukan tuan punya tanah, mereka mestilah mendapat kebenaran daripada tuan punya tanah yang dicadangkan.

Keluasan tanah tidak kurang daripada 3,000 kaki persegi, tertakluk kepada reka bentuk.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia