SP Setia lancar pembangunan komersial sulung di Setia EcoHill 2
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah perbandaran terkemuka, SP Setia Bhd, melancarkan Nadi, fasa pertama pembangunan komersial di perbandaran Setia EcoHill 2 di Semenyih.
Nadi, yang terletak di dalam presint komersial perbandaran itu iaitu Setia Commerce Square, adalah fasa kedai pejabat pertama yang mengandungi tiga fasa kedai pejabat dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta.
Ia dibangunkan di tanah seluas 13.76 hektar daripada keluasan keseluruhan 408.7 hektar Setia EcoHill 2 yang dijangka siap menjelang 2026.
Projek itu menawarkan 86 unit kedai pejabat, di mana 80 adalah unit teres dua dan tiga tingkat dan enam lagi adalah unit berkembar dua tingkat.
Kira-kira 80 peratus daripada projek Nadi telah ditempah selepas pratontonnya pada 25 Mac lalu, yang mencerminkan permintaan ketara daripada pemilik perniagaan dan pelabur yang ingin menjadi sebahagian daripada pertumbuhan komersial perbandaran itu.
Pengurus Besar Setia EcoHill, Koh Sooi Meng, berkata kedai-kedai itu akan membawa lebih banyak kemeriahan komersial dan lebih banyak pilihan runcit serta kemudahan untuk penduduk Setia EcoHill 2 yang mempunyai kira-kira 40,000 penduduk.
"Ia juga akan menarik kehadiran penduduk dari 1,214 hektar kawasan matang di kawasan kejiranan sekelilingnya, yang mempunyai anggaran populasi sehingga 100,000 penduduk, termasuk perbandaran Setia EcoHill kami sendiri yang berdekatan dengan Setia EcoHill 2.
"Selain itu, Universiti Nottingham Malaysia, yang terletak dalam jarak 20 minit pemanduan ke Setia EcoHill 2, juga dianggarkan menyumbang populasi 5,000 pelajar dari kampusnya," katanya dalam satu kenyataan.
Sooi Meng berkata, terletak berdekatan dengan beberapa projek bertingkat tinggi yang akan datang di kawasan kejiranan sekitar, pihaknya menyasarkan perniagaan daripada makanan dan minuman (F&B), runcit.
Katanya, turut disasarkan adalah industri perkhidmatan seperti restoran, klinik, pasar raya mini, bilik pameran, kedai serbaneka, butik perkhidmatan dan pusat pendidikan untuk menyokong pertumbuhan pesat serta pembangunan perbandaran serba lengkap itu.
Kedai pejabat teres Nadi berukuran 26 kaki x 75 kaki untuk unit tengah dua tingkat dan 42 kaki x 75 kaki dan 46 kaki x 75 kaki untuk unit sudut tiga tingkat.
Saiz binaan di antara 3,494 hingga 8,642 kaki persegi, dengan harga permulaan RM1.55 juta.
Kedai pejabat berkembar dua tingkat pula mempunyai keluasan tanah 70 kaki x 148 kaki dan binaan daripada 5,566 kaki persegi, berharga daripada RM3.7 juta.
Unit hujung Nadi akan mempunyai beranda sembilan kaki, menjadikannya sesuai untuk restoran dan kafe, manakala unit berkembar mempunyai ketinggian siling 15 kaki untuk tingkat bawah bagi mewujudkan persepsi yang lebih baik terhadap keluasan dan membolehkan lebih banyak cahaya semulajadi dan pengudaraan dalaman yang lebih baik.
Selain kedai pejabat, Setia Commerce Square juga sedang giat mencari rakan kongsi strategik untuk membangunkan tanah stesen minyak.
Source: Bharian.com.my