News & Articles PKNS lancar projek teres dua tingkat Puteri Ariana

PKNS lancar projek teres dua tingkat Puteri Ariana


22 May 2023
PKNS lancar projek teres dua tingkat Puteri Ariana
PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan projek pembangunan Puteri Ariana, kediaman teres dua tingkat sempena kempen Discover PKNS 2023 di Kota Puteri, Selangor, baru-baru ini.

Ia adalah sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memperluaskan portfolio rumah kontemporari di pusat pertumbuhan Kota Puteri.

Pelancaran projek berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS (Pembangunan Hartanah), Ir Md Kamarzan Md Rais yang turut melancarkan Galeri Jualan Hartanah Kota Puteri.

Dibina di kawasan seluas 2.61 hektar, Puteri Ariana membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM48.14 juta.

Projek itu menawarkan 72 unit rumah berkembar dua tingkat dengan pelbagai saiz unit serta saiz lot yang bervariasi daripada 20' x 70' hingga 22' x 75', dengan harga daripada RM590,000 hingga RM762,000 seunit.

Md Kamarzan berkata, Puteri Ariana terletak secara strategik di kawasan kejiranan matang yang pesat membangun di perbandaran Kota Puteri, di mana perbandaran ini telah dibangunkan oleh PKNS bagi memenuhi permintaan perumahan yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.

Katanya, Puteri Ariana menawarkan ruang kehidupan moden dan mampu dimiliki bagi pembeli di perbandaran ini.

"Projek perumahan ini terdiri daripada 24 rumah teres dua tingkat dengan saiz lot 20' x 70' dan 48 rumah teres dua tingkat dengan saiz lot 22' x 75'.

"Luas pembinaan untuk setiap jenis rumah berbeza dan dibahagikan kepada enam jenis unit dengan saiz dari 1,979.07 kaki persegi (kps) hingga 2,258.09 kps.

"Dengan pertumbuhan pembangunan bercampur di sekitar perbandaran Kota Puteri sejak ia dibangunkan, kami yakin bahawa pembangunan projek kediaman ini akan membantu meningkatkan industri komersial di sekitar kawasan Kota Puteri ini dengan menyediakan tempat tinggal bagi mereka yang baharu berkeluarga dan berminat untuk menjadikan Kota Puteri sebagai lokasi kediaman mereka," katanya.

Ciri penjualan unit Puteri Ariana adalah empat bilik tidur dan tiga bilik air, konsep reka bentuk moden tropika, kadar kepadatan rendah, ruang anjung kereta yang lebih luas, berdekatan kawasan rekreasi, susun atur pelan lantai yang efisien, lokasi strategik dengan akses mudah ke lebuhraya utama, serta harga yang berpatutan.

Kota Puteri adalah sebuah perbandaran yang lengkap dengan pelbagai kemudahan kepada penduduknya.

Ini termasuk UNISEL Bestari Jaya, UiTM Puncak Alam dan Puncak Perdana, pusat komersial, sekolah, Hospital UiTM, taman permainan, dan kawasan rekreasi yang memberikan keselesaan dan kemudahan kepada penduduk sekitarnya.

Kemudahan akses perhubungan adalah aspek lain yang penting serta perlu diambil kira dalam pembangunan projek ini.

Projek itu terletak secara strategik dengan jalan raya utama, seperti Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie, Jalan Kuala Selangor, dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) yang memberikan akses mudah ke Lembah Klang.

Pelancaran Puteri Ariana adalah petanda positif bagi pertumbuhan dan pembangunan berterusan dalam pasaran perumahan Selangor dan perbandaran Kota Puteri yang semakin berkembang.

Projek itu dijangka dapat menyediakan masyarakat tempatan dengan ruang kediaman moden yang amat diperlukan di samping menjiwai konsep kehidupan tropika bandar.

Terdahulu, PKNS telah melancarkan Discover PKNS 2023 sebagai platform untuk mendekati orang ramai di pusat perbandaran PKNS, menerusi pelbagai aktiviti berbentuk karnival selain mempromosikan produk-produk PKNS.

Kempen ini akan dilaksanakan di lima lokasi mulai 6 Mei hingga 29 Oktober 2023, iaitu Kota Puteri, Antara Gapi, Selangor Cyber Valley, Cyberjaya, Kompleks PKNS Shah Alam, dan diakhiri di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Kempen 'Signature Series' Sunway catat tempahan RM1.1 bilion

  • IOI Properties buys Tropicana Gardens Mall for RM680mil

  • Setia推Carabella 摩洛哥风住宅

  • 吉隆坡办公楼空置率领跑亚太

  • Di tengah kesibukan bandar raya, penduduk lawan pemaju intai 'lubuk emas' di Kampung Baru