News & Articles LBS terima pengiktirafan Deloitte buat kali kedua

LBS terima pengiktirafan Deloitte buat kali kedua


14 Jul 2023
LBS terima pengiktirafan Deloitte buat kali kedua
KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd (LBS) menerima pengiktirafan sebagai 'Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia 2023' oleh firma perunding global terkemuka Deloitte buat tahun kedua berturut-turut.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LBS, Datuk Joey Lim Hock Guan, berkata kumpulan berbesar hati untuk sekali lagi dinobatkan sebagai salah satu daripada pemenang Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia 2023 oleh Deloitte.

Beliau berkata, ia gambaran sebenar kejayaan berterusan LBS sebagai sebuah organisasi.

Katanya, sebagai pemaju perumahan rakyat, kumpulan sentiasa memberi penekanan kepada nilai teras dan tumpuan kepada kediaman yang berkualiti berdasarkan tiga teras utama iaitu mampu milik, ketersambungan dan komuniti.

"Anugerah ini penghargaan terhadap usaha dan dedikasi hampir 500 kakitangan LBS di samping penerapan budaya kerja dinamik serta perlaksanaan perancangan strategik.

"Adalah sesuatu yang amat mengujakan untuk menyaksikan pengiktirafan terhadap komitmen dan perkembangan LBS di sepanjang tahun," katanya.

Anugerah Syarikat Pengurusan Terbaik Deloitte adalah program perniagaan yang berprestij dan telah dianjurkan di lebih 37 negara sejak 1993.

Ia mengiktiraf syarikat tempatan milik persendirian (termasuk entiti yang tersenarai dengan saham majoriti yang dipegang secara persendirian) di atas kecemerlangan organisasi dan sumbangan mereka kepada ekonomi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Cynthia Lim, pula menekankan komitmen teguh kumpulan terhadap kelestarian dan inovasi.

Beliau berkata, LBS telah melabur RM60 juta untuk mewujudkan Sistem Binaan Berindustri (IBS), yang mana

pendekatan perintis itu menyelaraskan pembinaan dengan penghasilan panel konkrit pratuang dalam tetapan kilang terkawal dan pemasangan di tapak pembinaan dengan kerja tambahan minimum.

"Pelaksanaan IBS telah mengurangkan masa pembinaan, meminimumkan pembaziran bahan, penyelesaian isu buruh, pengurangan kesan alam sekitar dan meningkatkan kualiti keseluruhan," katanya.

Lim berkata, bermula pada 2018 dengan perasmian kilang mudah alih di LBS Alam Perdana, diikuti dengan p\

embukaan kilang utama di Nilai pada Mac 2019, pelaburan kumpulan itu menekankan dedikasi teguh LBS terhadap amalan mampan dan berinovasi.

Beliau berkata, LBS turut mewujudkan persekitaran inklusif untuk pekerja, termasuk peluang latihan dan pembangunan yang komprehensif, pakej imbuhan yang kompetitif dan faedah pekerja yang disesuaikan.

Katanya, sebagai pemaju rakyat, misi LBS adalah untuk membina rumah mampu milik dan berkualiti tinggi.

"Walaupun menghadapi cabaran COVID-19, termasuk gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos bahan mentah dan kekurangan buruh, LBS bertindak pantas dengan melaksanakan amalan mampan dan mengoptimumkan kecekapan operasi.

"Ini membabitkan strategi perniagaan yang inovatif, perkongsian strategik, inisiatif pendigitalan, pelaburan pengurusan bakat, dan keutamaan pengalaman pelanggan dan kualiti produk," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia