News & Articles Kenaikan yuran guaman tambah kos beli rumah

Kenaikan yuran guaman tambah kos beli rumah


20 Jul 2023
Kenaikan yuran guaman tambah kos beli rumah
KUALA LUMPUR: Kenaikan yuran guaman akan menyebabkan kos pembelian rumah secara keseluruhannya meningkat, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Presiden REHDA, Datuk NK Tong, berkata yuran guaman lebih tinggi akan menyebabkan pembeli terpaksa menanggung kos pembelian rumah yang sudahpun mengalami kenaikan disebabkan isu lain seperti harga bahan binaan dan kos pemajuan yang tinggi.

"Rakyat yang rata-rata masih bergelut dengan kesan pasca COVID-19 sudah tentu akan turut merasai kesan dari kenaikan yuran guaman.

"Pada masa ini, pemain industri seharusnya berusaha mencari jalan untuk mengurangkan kos pembelian rumah supaya agenda perumahan yang disarankan oleh kerajaan dipenuhi.

"REHDA akan terus menjalankan kewajipan untuk menyediakan rumah yang berkualiti dengan harga yang berpatutan serta mampu milik dalam jangka masa yang sepatutnya demi kemajuan negara dan rakyat," katanya kepada BH.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sebelum ini membantah kenaikan yuran guaman membabitkan pemindahan hak milik ketika rakyat masih bergelut dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus berkata, tindakan Majlis Peguam itu bertentangan dengan prinsip persaingan walaupun Seksyen 13 Akta Persaingan 2010 mengecualikan perintah pindaan daripada menggunakan akta berkenaan.

"Kenaikan ini bukan yang pertama kerana Majlis Peguam pernah menaikkan yuran guaman untuk pemindahan hak milik melalui Perintah Saraan Peguam Cara (Pindaan) 2017.

"MyCC juga telah mengambil tindakan proaktif menangani isu membabitkan yuran tetap menerusi badan profesional sejak 2013," katanya.

Tindakan Majlis Peguam itu juga dilihat bertentangan dengan usaha kerajaan membantu rakyat mampu memiliki rumah sendiri.

Inisiatif kerajaan melalui Memorandum Pemindahan (MOT) dan pelepasan atau diskaun cukai setem, pelepasan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bertujuan mengurangkan impak kenaikan kos sara hidup kumpulan sasar, selain dilaksana untuk menggalakkan industri perumahan.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia