News & Articles Bank disaran laksana subsidi silang bantu pembeli rumah

Bank disaran laksana subsidi silang bantu pembeli rumah


17 Aug 2023
Bank disaran laksana subsidi silang bantu pembeli rumah
PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mencadangkan institusi perbankan meninjau melaksanakan subsidi silang dalam membantu pembeli rumah memiliki rumah mampu milik.

Presiden REHDA, Datuk NK Tong, berkata cadangan itu adalah untuk mengatasi masalah penolakan pinjaman akhir yang menjadi faktor utama kepada situasi rumah siap tidak terjual.

Beliau berkata, langkah subsidi silang yang mungkin boleh dilakukan institusi perbankan adalah menerusi penubuhan dana khas atau menyediakan kuota untuk pinjaman rumah bagi kategori rumah mampu milik.

Katanya, dengan langkah sedemikian adalah diharapkan kadar faedah yang dikenakan akan lebih rendah dan ia bukan bertujuan untuk menjana keuntungan semata.

"Kerajaan telah membantu menerusi skim di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP). Memandangkan pemaju hartanah melaksanakan subsidi silang, adalah diharapkan institusi perbankan juga meninjau subsidi silang bagi membantu pembiayaan rumah mampu milik.

"Penubuhan dana khas atau kuota untuk pinjaman rumah bagi kategori mampu milik mungkin dengan kadar faedah yang lebih rendah untuk menggalakkan pembeli rumah pertama kali memiliki rumah," katanya pada taklimat media mengenai Kajian Industri Hartanah REHDA bagi Separuh Pertama 2023 dan Tinjauan Pasaran bagi Separuh Kedua 2023 dan Separuh Pertama 2024 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengenai cadangan REHDA untuk mengatasi masalah penolakan pinjaman akhir yang menyumbang kepada situasi rumah siap tidak terjual.

Mengulas mengenai situasi rumah siap tidak terjual, Tong berkata, 53 peratus responden Kajian Industri Hartanah REHDA bagi Separuh Pertama 2023 dan Tinjauan Pasaran bagi Separuh Kedua 2023 dan Separuh Pertama 2024 dilaporkan mempunyai unit kediaman siap yang tidak terjual.

Beliau berkata, penolakan pinjaman pembiayaan akhir, lot Bumiputera yang belum dikeluarkan dan harga yang tinggi menjadi tiga faktor utama kepada unit siap tidak terjual.

Katanya, majoriti unit kediaman siap tidak terjual berharga lebih RM1 juta serta kediaman yang berharga antara RM400,001 hingga RM500,000 dan RM700,001 hingga RM800,000.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia