News & Articles Status zon khas Forest City bakal beri impak di Iskandar Malaysia

Status zon khas Forest City bakal beri impak di Iskandar Malaysia


2 Sep 2023
Status zon khas Forest City bakal beri impak di Iskandar Malaysia
Kuala Lumpur: Iskandar Investment Berhad (IIB) percaya bahawa status Zon Kewangan Khas Forest City akan mewujudkan peluang pelaburan selain bakal menunjukkan peningkatan besar pertumbuhan ekonomi serantau.

Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai status Forest City sebagai Zon Kewangan Khas dijangka menjadi langkah strategik untuk meningkat pelaburan asing dan pada masa sama merangsang pertumbuhan ekonomi di Iskandar Malaysia.

"Sebagai pemangkin utama dan pemaju strategik bagi Flagship B koridor ekonomi Iskandar Malaysia, termasuk Medini dan EduCity, IIB percaya langkah ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan.

"Kedudukan Medini yang berhampiran Forest City memberi peluang ideal untuk kami mencapai visi membina sebuah metropolis masa hadapan yang inklusif dan mampan melalui kerjasama berterusan, mengenalpasti peluang serta menjadi pelengkap kepada cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sementara maklumat komprehensif mengenai rangka kerja Zon Ekonomi Johor-Singapura dan Zon Kewangan Bebas diperolehi, IIB kekal komited dan akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menyelaraskan pembangunan Iskandar Puteri dengan pelbagai manfaat lanjutan status Forest City itu.

"Komitmen kami untuk turut serta memastikan kejayaan negeri Johor kekal teguh, dan kami percaya bahawa melalui penyelarasan usaha sama, kita dapat mencipta persekitaran yang merangsang kemakmuran ekonomi dan pertumbuhan mampan.

"Johor akan sentiasa menjadi destinasi kompetitif untuk pelaburan, dan projek pembangunan IIB di rantau ini adalah bukti naratif kami. Dengan infrastruktur kukuh, kemudahan pengangkutan pelbagai, dan kedudukan strategik yang meletakkan kami hanya 15 minit dari Forest City serta hanya 20 minit ke Singapura, IIB bersedia untuk memanfaatkan peluang daripada Zon Kewangan Khas ini.

"Kami juga terus berazam untuk menyumbang kepada pertumbuhan berterusan ekonomi Johor, menarik pelaburan, memupuk inovasi, dan mencipta ekosistem berkembang yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan dan serantau," katanya.

Source: hmetro.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia