News & Articles Paramount bakal lancar lebih RM1 bilion projek baharu tahun depan

Paramount bakal lancar lebih RM1 bilion projek baharu tahun depan


6 Sep 2023
Paramount bakal lancar lebih RM1 bilion projek baharu tahun depan
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Paramount Corporation Berhad bakal melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) antara RM1 bilion hingga RM1.5 bilion pada 2024 di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew Sun Teong berkata, syarikat masih mempunyai tanah di Batu Kawan dan Sungai Petani untuk pelancaran projek baharu.

Katanya, Kumpulan mempunyai 60.7 hektar tanah di Sungai Petani dan masih meneroka peluang untuk mengambil alih lebih banyak tanah di daerah itu tidak lama lagi.

“Di Lembah Klang pula, kami mempunyai beberapa kawasan termasuk Kemuning Utama. Namun, kami sudah tidak mempunyai banyak tanah di sana dan sedang mencari lebih banyak tanah di situ.

“Selain itu, lokasi lain adalah Cyberjaya dan Klang. Secara keseluruhan, kami mempunyai antara lima hingga enam lokasi di Lembah Klang dan dua di utara.

“Ia juga membantu kami untuk membeli lebih banyak tanah di sekitar kawasan yang sama,” katanya pada majlis perbentangan keputusan kewangan separuh pertama 2023 Paramount di sini hari ini.

Jeffrey berkata, masalah yang dihadapi pasaran hartanah ialah kadar penyerapan iaitu hanya sejumlah unit hartanah sahaja yang mampu dijual di sesebuah kawasan dalam masa setahun.

“Jadi, lebih baik untuk kami mempunyai empat hingga lima lokasi projek dilancarkan setiap tahun dan kami menjual 100 hingga 200 unit di setiap lokasi berbanding membeli sebidang tanah untuk jual 1,000 unit di kawasan itu setahun,” ujarnya.

Tambahnya, Syarikat kini mempunyai 196.9 hektar bank tanah dengan GDV sebanyak RM7.64 bilion di Kuala Lumpur, Selangor, Cyberjaya, Pulau Pinang dan Kedah.

Ditanya pelan pengembangan, beliau berkata, pihaknya terus meneroka mengembangkan jejak di Bangkok yang sudah ditembusi sejak dua tahun lalu.

“Kami sudah mencuba sejak dua tahun lalu dan berdepan sedikit cabaran dengan Covid-19. Bagaimanapun, jualan projek di sana mencapai 70 peratus.

“Kami masih melihat pada projek yang lain, namun bukannya mudah kerana tidak dapat memiliki pegangan sebanyak 100 peratus di sana,” jelasnya.

Syarikat mencatatkan RM617 juta dalam jualan hartanah pada separuh pertama 2023, 46 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi separuh kedua tahun ini, syarikat mengunjurkan pelancaran projek dengan GDV sebanyak RM700 juta. – UTUSAN

Source: utusan.com.my

Latest Posts
  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia