Gamuda Cove gabung lebih banyak elemen riadah, pendidikan
KUALA LANGAT: Pemaju hartanah, Gamuda Land bakal menerapkan elemen hospitaliti dan riadah dalam perbandaran baharunya pada masa akan datang selepas melihat kejayaan yang diraih di pembangunan Gamuda Cove.
Pengurus Besar (Riadah & Hospitaliti) Gamuda Land, N Sanjay, berkata buat masa ini elemen berkenaan sedang dilaksanakan di tiga perbandarannya di Lembah Klang iaitu di Gamuda Cove, Gamuda Gardens dan twentyfive7.
Katanya, pihaknya bercadang untuk mengembangkan ciri unik itu ke perbandarannya di bahagian utara dan selatan pula yang akan diumumkan pada masa akan datang.
"Menjadi pemaju perbandaran memberi kami peluang unik untuk merancang pelan induk dengan betul. Ia mesti mempunyai gabungan komponen kediaman, kerja, komersial, runcit, rekreasi dan hiburan yang baik.
"Semua ini disekalikan dengan taman yang subur dan jalan-jalan yang dipenuhi pokok yang akan mewujudkan sebuah bandar yang baik dan seimbang. Gamuda Cove seluas 619.17 hektar ibaratnya memberi kami kanvas besar untuk digunakan.
"Selepas pembukaan SplashMania Waterpark baru-baru ini, maka kini tepat pada masanya untuk kami memperkenalkan program pengembaraan dan riadah baharu di Gamuda Cove sebagai lanjutan daripada tawaran kami iaitu di Discovery Park dan Paya Indah Discovery Wetlands," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.
Sebagai zon rekreasi dan pengembaraan untuk Gamuda Cove, Discovery Park seluas 9.3 hektar menawarkan pelbagai aktiviti untuk semua kumpulan umur yang terdiri daripada dua zon rekreasi.
Dengan penambahan baru Electric Go-karting, Paintball Target Shooting dan ATV, Discovery Park kini menawarkan 12 tarikan untuk pengunjung.
Melengkapi tawaran pelancongan di Gamuda Cove seperti SplashMania Waterpark dan Paya Indah Discovery Wetlands adalah pembukaan Wetlands Arboretum Centre.
Pusat yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan bank benih hutan dengan tumpuan kepada penanaman spesies tumbuhan tanah lembap yang terancam dan yang mempunyai kepentingan pemuliharaan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Gamuda Land, Khariza Abd Khalid, berkata Wetlands Arboretum Centre yang baru dibuka mewakili tonggak penting dalam komitmen syarikat itu terhadap kehidupan yang mampan, pemuliharaan, dan pemeliharaan kepelbagaian biologi.
Katanya, usaha yang bercita-cita tinggi ini bukan sahaja akan memelihara dan memulihkan spesies asli tetapi juga menyokong pemulihan populasi tumbuhan dan haiwan yang terancam, menyumbang kepada keseimbangan ekologi keseluruhan rantau kita.
"Dengan penubuhan Wetlands Arboretum Centre, kami telah memperkaya 'Jungle School Programme 2.0' iaitu program pembelajaran luar bilik darjah untuk pencinta alam semula jadi dan kanak-kanak.
"Dengan harga RM75, ia termasuk lawatan safari ke Paya Indah Discovery Wetlands dengan renjer berpengalaman. Di sini, mereka akan menemui fakta menarik mengenai haiwan dan tumbuhan yang hidup di ekosistem tanah lembap.
"Lawatan ini berakhir di Wetlands Arboretum Centre apabila silibus yang dihasilkan mengenai bengkel pengalaman berasaskan alam semula jadi seperti pelajaran 'saintis air' dan teknik pertanian bandar dikongsi dengan peserta muda.
"Tidak seperti pembelajaran di kelas, para peserta akan menikmati pembelajaran praktikal mengenai persekitaran tanah lembap dalam suasana luar yang menyeronokkan bersama rakan mereka," katanya.
Source: Bharian.com.my