Data penilai hartanah penting bantu penggubal dasar
KUCHING: Data yang diperoleh daripada penilai adalah penting untuk membantu penggubal dasar dalam menghasilkan dasar berkaitan hartanah yang cekap dan tepat, menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, penilai bertanggungjawab membimbing dan mendidik pengguna khususnya pembeli dan bakal pemilik hartanah untuk mendapatkan maklumat mengenai pasaran hartanah.
Dengan menjalankan tugas mereka secara profesional dan menegakkan etika, nilai pasaran hartanah yang diurus niaga boleh diterjemahkan kepada data ekonomi yang boleh dipercayai, kata Ahmad.
"Pengguna data seperti bank, penyelidik dan profesion lain yang berkaitan juga akan dapat menggunakan dan menganalisis data serta membantu penggubal dasar.
"Dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) dan internet pelbagai benda (IoT), keputusan yang lebih bermaklumat, khusus dan dipercayai boleh dibuat dengan kadar segera," katanya dalam ucaptama di Kongres Persatuan Penilai ASEAN (AVA) ke-25 di sini, hari ini.
Ahmad berkata, penilai dan pemain hartanah boleh dianggap ahli profesional kerana kepakaran mereka adalah penting dalam pasaran hartanah global.
"Kemahiran dan pengetahuan mereka (penilai) adalah penting untuk membuat keputusan termaklum, mengurus risiko dan memastikan integriti dalam transaksi hartanah merentasi sempadan," tambahnya.
Kongres AVA yang berlangsung selama tiga hari, bermula pada 18 September, berfungsi sebagai platform untuk menggalakkan kerjasama, menghasilkan persefahaman bersama, mewujudkan hubungan yang lebih erat, berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang penilaian yang berkaitan dalam kalangan penilai dan profesional bersekutu negara-negara anggota ASEAN.
Ditubuhkan pada Jun 1981, AVA pada masa ini dianggotai lapan negara yang terdiri dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
-BERNAMA
Source: Bharian.com.my