News & Articles Pengekalan OPR: Sektor hartanah kekal ‘neutral’

Pengekalan OPR: Sektor hartanah kekal ‘neutral’


27 Sep 2023
Pengekalan OPR: Sektor hartanah kekal ‘neutral’
PETALING JAYA: MIDF Research mengekalkan penarafan ‘Neutral’ dengan kecenderungan positif bagi sektor hartanah ekoran jangkaan permintaan sektor berkenaan terus pulih secara beransur-ansur.

Firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya berkata, tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.0 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) awal bulan ini dilihat bakal menyokong permintaan untuk hartanah pada masa hadapan.

Memetik laporan BNM, MIDF Research berkata, permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah pulih kepada 2.7 peratus bulan ke bulan kepada RM51.8 bilion pada Julai 2023 selepas penurunan sebanyak 11 peratus bulan ke bulan pada Jun 2023.

“Pada asas tahunan, permohonan pinjaman adalah lebih tinggi sebanyak 1.5 peratus tahun ke tahun pada Jun 2023 selepas penurunan mendadak sebanyak 13.6 peratus tahun ke tahun pada Julai 2023.

“Kami berpendapat bahawa pemulihan kecil dalam permohonan pinjaman berkemungkinan didorong kenaikan kadar oleh bank pusat pada Julai 2023,” katanya.

Tambah MIDF Research lagi, secara kumulatif, jumlah permohonan pinjaman bagi tempoh tujuh bulan sepanjang 2023 berjumlah RM348.8 bilion atau peningkatan sebanyak 0.9 peratus tahun ke tahun.

“Jumlah penggunaan yang lebih tinggi menunjukkan permintaan yang sihat untuk sektor hartanah,” katanya.

Sementara itu, menurut MIDF Research jumlah pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah terus merosot sebanyak 4.2 peratus kepada RM23.1 bilion pada Julai 2023 selepas penurunan 5.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Jelasnya, penurunan ber­kenaan didorong oleh peratusan lebih rendah daripada jumlah pinjaman yang diluluskan berbanding jumlah pinjaman yang dipohon sebanyak 44.6 peratus pada Julai 2023 berbanding 47.8 peratus pada Jun 2023.

“Bagaimanapun, jumlah pinjaman yang diluluskan pada Julai 2023 meningkat kepada 1.7 peratus, menjadikan jumlah kumulatif pinjaman diluluskan sepanjang tujuh bulan 2023 le­bih tinggi pada RM153.8 bilion.

“Jumlah pinjaman yang diluluskan lebih tinggi menunjukkan prospek jualan baharu lebih baik untuk pemaju hartanah,” katanya.

MIDF Research berkata, permintaan hartanah perindustrian yang semakin meningkat membawa kepada peningkatan pendedahan syarikat hartanah dalam pembangunan perindustrian.

“Secara keseluruhan, kami melihat sumbangan yang semakin meningkat daripada pembangunan perindustrian kepada syarikat hartanah dalam jangka masa terdekat, berdasarkan permintaan kukuh untuk aset perindustrian.

“Justeru itu, kami mengekalkan NEUTRAL dengan berat sebelah positif pada sektor hartanah kerana kami menjangkakan permintaan sektor hartanah akan terus pulih secara beransur-ansur,” katanya.

MIDF Research berkata, pilihan utamanya bagi sektor hartanah adalah Kumpulan Mah Sing (Beli, TP: RM0.90) dan Matrix Concepts (Beli, TP: RM1.81).

Katanya, ia ekoran keyakinan firma penyelidikan itu terhadap pemaju hartanah yang menumpukan segmen pasaran pertengahan dan mampu milik di tengah-tengah permintaan yang berdaya tahan untuk rumah mampu milik. – UTUSAN

Source: utusan.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline