Sunway bangun taman industri RM3.5 bilion di Batu Kawan
KUALA LUMPUR: Sunway Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sunway Bukit Gambier Sdn Bhd, memeterai perjanjian pembangunan bersama dengan Penang Development Corporation (PDC) untuk membangunkan sebidang tanah perindustrian utama berkeluasan 226.22 hektar di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Pembangunan yang dilaksanakan menerusi syarikat usaha sama Umechheh Land Sdn Bhd adalah sebagai pertukaran hak tanah bernilai RM646 juta milik PDC.
Menurut Sunway, tanah yang terletak secara strategik kira-kira empat kilometer dari Jambatan Kedua Pulau Pinang itu menawarkan ketersambungan yang sangat baik dan hanya 20 minit memandu dari Pulau Pinang, serta 30 minit dari Pelabuhan Pulau Pinang.
"Lokasi yang strategik ini menjadikannya tapak yang ideal untuk cadangan Taman Perindustrian yang akan melengkapkan kawasan perindustrian Batu Kawan yang sedang berkembang seperti Taman Perindustrian Batu Kawan 1 (BKIP 1) dan Taman Perindustrian Valdor.
"Taman Perindustrian yang dicadangkan akan terdiri daripada kilang, lot perindustrian dan komponen komersial dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sekurang-kurangnya RM3.5 bilion.
"Visi untuk taman perindustrian adalah untuk mewujudkan ekosistem yang dinamik, dipacu inovasi yang berfungsi sebagai hab global untuk teknologi perindustrian, penyelidikan, pembangunan dan kerjasama termaju di atas kejayaan BKIP 1," katanya.
Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah, berkata cadangan pembangunan bidang kedua tanah perindustrian tahun ini akan menambah portfolio pembangunan perindustrian pemaju hartanah itu.
"Pelaburan ini menandakan komitmen Sunway Property, bukan sahaja mewujudkan taman perindustrian yang mampan tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran Pulau Pinang dengan menarik pelaburan serta membina kemajuan teknologi di rantau ini.
"Pembangunan strategik ini sejajar dengan dedikasi Sunway Property untuk mengembangkan inovasi, teknologi dan pembangunan mampan dalam sektor perindustrian, sambil menampung keperluan perniagaan yang sentiasa berubah dalam era digital ini," katanya.
Ogos lalu, Sunway Property memperoleh sebidang tanah perindustrian pegangan bebas strategik berkeluasan 99.15 hektar di Kuang, Rawang bagi membangunkan Taman Teknologi Perindustrian yang akan terdiri daripada kilang, gudang dan komponen komersial dengan GDV sekurang-kurangnya RM2 bilion.
Menurut Sunway, pengalaman luas Sunway Property dalam pembangunan mampan dan komitmen teguhnya untuk memanfaatkan teknologi akan membantu memastikan Teknologi Perindustrian di Batu Kawan, bukan sahaja untuk memenuhi permintaan sektor perindustrian, malah mewujudkan piawaian perintis untuk keseluruhan industri.
Sunway Property bersedia untuk meraih pertumbuhan yang berdaya tahan menerusi jumlah simpanan tanah seluas 1,340.32 hektar dengan potensi GDV RM53.9 bilion dalam tempoh lebih 15 tahun.
Source: Bharian.com.my