News & Articles Glomac catat jualan hartanah lebih tinggi RM101 juta

Glomac catat jualan hartanah lebih tinggi RM101 juta


2 Oct 2023
Glomac catat jualan hartanah lebih tinggi RM101 juta
KUALA LUMPUR: Glomac Bhd merekodkan peningkatan ketara dalam jumlah jualan hartanah kepada RM101 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 30 April 2024, berbanding RM52 juta yang diraih suku sama tahun kewangan 2023.

Lonjakan 94 peratus dalam jualan baharu yang dicatatkan Glomac pada suku dikaji itu memacu pendapatan kumpulan sebanyak RM60.1 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024, selain disokong aktiviti pembinaan berterusan termasuk fasa pembangunan terkini di Saujana KLIA serta 121 Residences, pembangunan kediaman bertingkat tinggi di daerah Petaling Jaya-Damansara.

Meskipun pendapatan Glomac sedikit menurun dari RM65.5 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 yang menyaksikan keuntungan sebelum cukai susut kepada RM6.2 juta kesan kenaikan kadar faedah, kedudukan kewangan pemaju hartanah tempatan itu bagaimanapun terus menunjukkan perkembangan yang sihat.

Menurut Glomac, setakat 31 Julai 2023, wang tunai dan deposit tunai terus meningkat kepada RM305.4 juta daripada RM288.8 juta pada akhir April 2023.

Katanya, penggearan bersih atau nisbah hutang berbanding ekuiti adalah lebih rendah pada 0.12 kali berbanding dana pemegang saham sebanyak RM1.193 bilion.

"Aset bersih sesaham kumpulan meningkat kepada RM1.55 setakat akhir Julai 2023 berbanding RM1.53 pada akhir April 2023. Ini diterjemahkan kepada nisbah nilai buku sesaham sebanyak 0.25 kali," katanya.

Mengulas lanjut mengenai jualan, Glomac berkata, pertumbuhan jualan yang teguh didorong oleh penjualan sepenuhnya kedai pejabat di Lakeside Boulevard II, iaitu fasa kedua komponen komersial di Lakeside Residences, Puchong.

Katanya, projek berkenaan menawarkan 49 unit rumah kedai dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM86 juta, telah dijual sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan sejak pelancarannya pada akhir April 2023.

"Selain itu, penjualan fasa komersial terbaharu di perbandaran Saujana Perdana turut mendapat sambutan baik sejak pelancaran rasminya pada April 2023. Sejumlah 81 rumah kedai dengan anggaran GDV RM71 juta, hampir habis dijual pada akhir Julai 2023," katanya.

Pada tahun kewangan dikaji, Glomac merancang untuk melancarkan projek baharu bernilai hampir RM700 juta, iaitu projek Loop City, sebuah pembangunan kediaman bersepadu baharu yang terletak di tengah-tengah Puchong dengan jumlah anggaran GDV RM1.57 bilion.

Fasa awal merangkumi kediaman jenis SoHo 'SoHos' dan pangsapuri servis dengan anggaran GDV sebanyak RM338 juta

Pelancaran baharu lain seperti unit kediaman teres dan bertingkat tinggi di perbandaran sedia ada seperti Lakeside Residences dan Saujana KLIA.

"Glomac memiliki portfolio yang mantap serta pembangunan simpanan tanah yang strategik dengan anggaran nilai GDV hampir RM8 bilion.

Di Johor, gabungan projek Sri Saujana dan Saujana Jaya mempunyai 238 ekar tanah dengan potensi GDV sebanyak hampir RM800 juta, kesan pemangkin dari rancangan kerajaan Johor untuk meningkatkan aktiviti ekonomi seperti kewujudan zon kewangan khas di Forest City serta potensi pemulihan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline