Belanjawan 2024: Inisiatif pemilikan rumah pertama dijangka diberi tumpuan
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 dijangka akan terus mengetengahkan langkah berpaksikan rakyat termasuk inisiatif mempromosikan pemilikan rumah pertama.
Ketua Penyelidik TA Securities, Kaladher Govindan, berkata tumpuan ke arah penekanan atau perluasan sokongan dalam sektor hartanah juga diharapkan membabitkan dasar mesra pemaju untuk kediaman mampu milik.
"Inisiatif untuk mempromosikan pemilikan rumah dalam kalangan pembeli kali pertama berpendapatan rendah mungkin akan diberi penekanan atau diperluaskan.
"Kami juga mengharapkan kerajaan melaksanakan dasar mesra pemaju untuk rumah mampu milik dan menyediakan insentif untuk pembangunan hijau," katanya dalam nota penyelidikan.
Govindan berkata, TA Securities menjangkakan kerajaan akan memberi lebih kejelasan mengenai pembangunan infrastruktur dan zon ekonomi khas.
Katanya, faktor itu adalah dengan tujuan untuk merangsangkan pertumbuhan ekonomi, atau menjadi satu langkah yang berkemungkinan memberi kesan positif kepada prospek sektor hartanah.
"Sektor hartanah dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif yang mungkin untuk mempromosikan pemilikan rumah dalam kalangan pembeli kali pertama berpendapatan rendah hingga sederhana dan menjadikannya lebih mampu milik, membangunkan dasar mesra pemaju untuk rumah mampu milik, insentif untuk pembangunan hijau dan kejelasan mengenai pembangunan infrastruktur dan zon ekonomi khas.
"Kelonggaran keperluan di bawah program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) boleh menjadi faedah tambahan untuk sektor ini," katanya.
Dalam aspek pembangunan projek mega pula, beliau menjelaskan, TA Securities menjangkakan kerajaan akan memberikan lebih kejelasan mengenai pelaksanaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan potensi pelaksanaan semula Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura dan Bandar Malaysia, yang akan mewujudkan kesan pengganda yang positif kepada ekonomi tempatan dan sektor hartanah.
"Tambahan pula, kami menjangkakan kerajaan akan mendedahkan secara spesifik tentang rancangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan zon kewangan khas, projek Forest City, yang bertujuan untuk merangsang ekonomi Iskandar Malaysia di selatan Johor," katanya.
Sebelum ini, BH melaporkan, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk NK Tong berkata, kerajaan perlu memperkenalkan insentif yang membolehkan ramai rakyat Malaysia memiliki kediaman menerusi Belanjawan 2024.
Insentif yang akan memudahkan pemilikan kediaman itu termasuk potongan cukai, geran serta kadar faedah yang lebih rendah untuk mengurangkan beban pemilik rumah masa depan, terutamanya pembeli kali pertama.
Ia turut merangkumi pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC), selepas dua kempen iaitu pada 2019 dan 2020-2021 membantu ribuan rakyat memiliki rumah, selain menyumbang dengan ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari juga berkata, Belanjawan 2024 perlu memasukkan langkah-langkah untuk membantu rakyat dan mengukuhkan kelas pertengahan, terutamanya dengan tumpuan terhadap kemampuan untuk memiliki rumah.
Bagi mempunyai kewangan yang stabil, katanya, keluarga memerlukan empat perkara iaitu pendapatan, perbelanjaan yang rendah, keupayaan untuk menyimpan dan keselamatan di dalam rumah, justeru pemilikan rumah mampu milik membantu mencapai tiga daripada empat matlamat berkenaan.
Source: Bharian.com.my