Sewa kondominium di JB cecah setinggi RM5,000 sebulan
KUALA LUMPUR: Kadar sewa sesetengah kondominium di Johor Bahru meningkat setinggi RM5,000 sebulan berbanding RM2,500 sebelum ini selepas sempadan dibuka semula, demikian menurut penganalisis.
Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen, berkata beberapa pengendali Airbnb turut menyatakan bahawa kadar penghunian untuk unit-unit di bawah pihak pengurusan meningkat kepada purata 70 peratus hingga 80 peratus setakat ini.
Beliau berkata, berdasarkan perbualan pihaknya dengan penduduk tempatan, didapati bahawa bilangan pengunjung dari Singapura meningkat dengan ketara, terutamanya apabila sempadan Singapura dan Malaysia dibuka semula selepas pandemik pada April 2022.
Malah, katanya, ejen hartanah menerima semakin banyak pertanyaan daripada bakal pembeli dari Singapura.
Tambahnya, selain pembelian barang runcit, segmen lain yang merekodkan perbelanjaan besar termasuklah makanan dan minuman (F&B), kesejahteraan kesihatan dan kecantikan serta penyelenggaraan kereta.
"Kami juga dapati bahawa kadar sewaan bulanan bagi sesetengah kondominium di pusat bandar telah mula meningkat kepada RM5,000 seunit daripada RM2,500, apabila sempadan dibuka semula, mencecah paras kadar sewaan di pusat bandar Kuala Lumpur," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Kok Wen berkata, kunjungan beliau ke Johor baru-baru ini juga mengukuhkan lagi keyakinan terhadap pasaran hartanah Iskandar Malaysia.
Beliau berkata, projek yang berhampiran dengan Sistem Transit Laju (RTS) patut terus menerima permintaan yang kukuh, dan kuasa perbelanjaan pengguna yang dipacu oleh dolar Singapura dijangka akan memberi kesan limpahan terhadap syarikat-syarikat runcit, hospitaliti dan hartanah di luar pusat bandar pada masa hadapan.
Katanya, pembangunan pemangkin lanjut mungkin menumpu pada kawasan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
"Semasa pertemuan kami, Ahli Majlis Eksekutif Negeri Johor untuk pelaburan, perdagangan dan hal ehwal pengguna, Lee Ting Han menyatakan bahawa zon kewangan khas Johor-Singapura mungkin membabitkan beberapa sektor tertentu, dan terma rujukan yang akan dimuktamadkan dalam mesyuarat pada akhir bulan ini oleh pemimpin kedua-dua negara ini seharusnya memudahkan perbincangan lanjut mengenai kerjasama.
"Lee (Ting Han) percaya Johor adalah penerima manfaat daripada perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China, kerana beliau menerima minat yang kukuh daripada syarikat-syarikat multinasional (MNC) sejak sempadan dibuka semula.
"Perkhidmatan laluan pantas telah memudahkan kemasukan syarikat-syarikat dalam sektor ekonomi digital, farmaseutikal, elektrik & elektronik (E&E), EMS, bahan kimia & petrokimia dan aeroangkasa," katanya.
Source: Bharian.com.my