Projek hartanah Mah Sing dapat sambutan hebat
KUALA LUMPUR: Projek pembangunan hartanah oleh Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) di beberapa lokasi mendapat sambutan yang menggalakkan, sekali gus memberi gambaran sektor hartanah telah kembali meningkat.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, antara projek yang menunjukkan kadar pembelian tinggi adalah projek apartmen servis kumpulan, M Minori di Johor Bahru serta M Senyum, projek rumah dua tingkat di Salak Tinggi, Selangor.
Beliau berkata, bagi M Minori, Menara A yang juga dikhususkan untuk unit bukan Bumiputera sudah mencapai kadar kepenghunian sebanyak 100 peratus (252 unit).
Katanya, M Senyum pula turut mengekalkan sambutan positif daripada pasaran dengan Fasa 3A yang terdiri daripada 150 unit mencapai 90 peratus kadar pengambilan.
"Melangkah ke hadapan, tumpuan kami akan kekal untuk mencapai permintaan yang teguh dan pemulihan yang lebih singkat bagi hartanah kediaman Siri M yang selaras dengan keperluan pasaran.
"Kami juga sedang giat meneroka lokasi berpotensi di Klang Lembah, Johor dan Pulau Pinang untuk membangunkan hartanah kediaman dan perindustrian.
"Mah Sing yakin berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran jualan RM2.2 bilion tahun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (Hartanah) Mah Sing, Benjamin Ong pula berkata, M Minor memperoleh pensijilan Gangsa GreenRE, yang juga inisiatif kemampanan.
Beliau berkata, pensijilan itu bukan sahaja mencerminkan komitmen kumpulan terhadap kemampanan sebagai pemaju yang bertanggungjawab tetapi juga membuka pintu kepada sokongan daripada rakan kongsi kewangan.
Katanya, rakan kongsi kewangan menawarkan pilihan pembiayaan hijau kepada rumah pembeli, yang diterjemahkan kepada kadar faedah yang lebih rendah ke atas pinjaman perumahan.
"Tambahan pula, kami menerima maklum balas positif terutamanya daripada pembeli rumah yang lebih muda.
"Mereka juga teruja dengan harga yang ditawarkan di bawah RM500,000. Pembangunan hartanah kumpulan telah direka dengan teliti untuk menyediakan pembeli rumah dengan ruang di mana mereka boleh menerima keseimbangan kerja dan kehidupan," katanya.
M Minori ialah pembangunan bercampur yang terdiri daripada tiga blok suite servis dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM519 juta.
Ia terdiri daripada 1,526 unit kediaman yang menawarkan pilihan satu, 1+1, dua dan tiga unit bilik tidur dengan binaan antara 570 kaki persegi hingga 880 kaki persegi pada harga mampu milik bermula RM288,000.
M Senyum pula projek rumah dua tingkat dengan Fasa 3A yang terdiri daripada 150 unit mencapai 90 peratus kadar pengambilan.
Ia juga adalah kesinambungan dari sambutan positif untuk Fasa 1 dan Fasa 2 yang sudah mencapai kadar pengambilan sepenuhnya.
M Senyum Fasa 3A dijual pada harga bermula dari RM496,000 tawaran empat bilik tidur dan tiga bilik mandi, dengan keluasan binaan antara 1,555 kaki persegi hingga 1,624 kaki persegi.
Mah Sing juga turut membuka pendaftaran bagi Fasa 3B terdiri daripada 195 unit, pada harga bermula RM499,000.
Source: Bharian.com.my