News & Articles Ladang durian dijangka sumbang pendapatan berulang - Bina Puri

Ladang durian dijangka sumbang pendapatan berulang - Bina Puri


25 Oct 2023
Ladang durian dijangka sumbang pendapatan berulang - Bina Puri
KUALA LUMPUR: Bina Puri Holdings Bhd menyasar untuk meraih pendapatan berulang sebanyak RM10 juta setahun apabila ladang durian miliknya memulakan pengeluaran komersial berskala penuh pada 2029.

Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Datuk Matthew Tee, berkata ladang itu terdiri daripada 5,000 pokok durian terutamanya Musang King yang berusia antara lima hingga enam tahun dan 3,000 pokok buah-buahan lain.

"Nilai tanah dengan pokok durian dianggarkan RM112.5 juta, berdasarkan RM450,000 kadar pasaran sedia ada di sekitar kawasan Bentong.

"Penuaian besar-besaran pertama dijangka pada tahun 2024 dengan anggaran 150 tan untuk memasuki pasaran durian tempatan dan global. Dijangka membawa masuk anggaran pendapatan RM3.75 juta semusim.

"Pokok durian ini dijangka berkembang menjadi pengeluaran komersial berskala penuh pada 2029 dengan anggaran pendapatan tahunan berulang sebanyak RM10 juta kepada syarikat untuk 20 hingga 30 tahun akan datang dan anggaran keuntungan sehingga 60 peratus," katanya kepada BH ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu Matthew berkata, pihaknya yakin pembangunan hartanah percutiannya (homestead), The Valley yang terletak di Bentong, Pahang akan dapat menarik minat pembeli disokong oleh kemudahan infrastruktur lengkap yang disediakan di kawasan itu.

Beliau berkata, pihaknya telah melabur kira-kira RM30 juta setakat ini bagi membangunkan infrastruktur termasuk akses jalan bertar, saliran longkang, bekalan air dan elektrik serta kawalan keselamatan berpengawal di pintu masuk.

Selain itu katanya, daya tarikan lain ialah 101.17 hektar ladang durian Musang King milik kumpulan itu yang mula ditanam pada 2017 dan boleh dituai besar-besaran buat kali pertama pada tahun depan yang boleh dinikmati penduduk di situ.

"TheValley @ Bentong ini bermula pada tahun 2017 apabila kami meletakkan asas pertama iaitu jambatan melintasi Sungai Kerbau. Sejak itu, kami telah bergerak maju ke hadapan dan menyelesaikan pembinaan lebih awal pada tahun 2019.

"Semasa pembinaan kami telah membina hampir 20 kilometer jalan, saliran dan air membekalkan paip ke semua lot yang melintasi keseluruhan 242.81 hektar di Kerau @ The Valley.

"Ketika ini, sejak dilancarkan, fasa satu projek Kerau telah habis terjual manakala fasa dua Kerau pula 62 peratus telah terjual. Fasa ketiga iaitu Sarang pula 30 peratus telah terjual dan fasa keempat yang juga terakhir akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

The Valley seluas 646.2 hektar terletak di Karak, di dalam daerah Bentong dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM495.3 juta. Ia dibangunkan oleh Karak Land Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Bina Puri.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

  • Analysts positive on Mah Sing's new Old Klang Road land acquisition

  • Tan: "Don't limit housing purchases"

  • S P Setia lancar Anggun Villa III di Bandar Kinrara, Puchong

  • Neoh: Adopt proactive strategies to preserve long-term value of high-rise properties