Glomac semak semula strategi susulan penyusutan ringgit
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Glomac Berhad akan menyemak semula strategi termasuk mempelbagaikan perniagaan bagi berdepan dengan kesan penyusutan ringgit ketika ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Berhad, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor berkata, pembinaan strata memerlukan banyak bahan pembinaan yang diimport berbanding pembangunan rumah teras yang kebanyakan bahan boleh diperoleh dalam negara.
Katanya, walaupun kebanyakan harga bahan binaan sudah mula stabil kecuali simen, ada beberapa barang seperti lif, eskalator dan pelbagai lagi yang perlu diimport dari luar negara.
“Membina kediaman bertanah mungkin menjadi satu daripada strategi. Namun begitu, kawasan tanah yang kecil menyebabkan masih mendorong kepada pembinaan strata.
“Jadi, kena selalu buat kajian untuk strategi baharu dan kami juga berharap ringgit dapat mengukuh,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-39 di Menara Glomac di sini semalam.
Sementara itu, FD Iskandar berkata, syarikat juga meneroka peluang untuk mempelbagaikan perniagaan dalam tenaga boleh diperbaharui (RE).
“Kami telah menandatangani perjanjian persefaham (MoU) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira lima bulan lalu dan kajian sedang dilaksanakan.
“Buat masa ini, kami masih dalam proses perbincangan. Saya rasa kami hanya boleh memberi penjelasan yang lebih lanjut apabila usaha ini berjaya dicapai. Saya jangkakan pada tahun depan,” ujarnya.
Mengulas sama ada Glomac akan meneroka pasaran hartanah di luar negara lanjutan kejatuhan ringgit, beliau berkata, langkah tersebut memberi impak kos yang lebih tinggi kepada syarikat yang sebahagian besar menerima pendapatan dalam ringgit.
“Bagaimanapun, kami sentiasa terbuka kepada peluang yang ada. JIka ada peluang yang bagus, maka kami akan mencuba. Kami akan laksanakan apa yang baik untuk pemegang saham. Tetapi, kami tidak mencari buat masa ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengunjurkan pertumbuhan jualan hartanah antara 20 peratus hingga 25 peratus bagi tahun kewangan 2024 iaitu antara RM360 juta hingga RM380 juta berbanding RM302 juta yang dicapai pada tahun kewangan sebelumnya.
“Kami juga cuba untuk mencapai sehingga RM400 juta. Bagi suku pertama tahun ini, syarikat sudah mencapai jualan hartanah sebanyak RM101 juta,” jelasnya.
Glomac mencatat hasil bernilai RM341 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 April 2023 (TK23), pertumbuhan 31 peratus berbanding RM259.5 juta yang dilaporkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Kumpulan turut merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM50.5 juta dan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik Syarikat (PATAMI) sebanyak RM31.5 juta. – UTUSAN
Source: utusan.com.my