News & Articles KPKT cadang konsep kediaman 'bina dan jual' sebagai pilihan

KPKT cadang konsep kediaman 'bina dan jual' sebagai pilihan


30 Oct 2023
KPKT cadang konsep kediaman 'bina dan jual' sebagai pilihan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang mahu memperkenalkan konsep 'bina dan kemudian jual' untuk projek pembangunan hartanah kediaman pada masa akan datang.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata kementerian akan mengadakan libat urus dengan Institut REHDA bagi membincangkan perkara berkenaan.

"Pilihan yang paling baik adalah bina dan kemudian jual, bukan jual dan kemudian bina. Oleh kerana itu, kementerian akan bekerjasama dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) dan memberikan pilihan baharu ini.

"Bulan depan saya akan berbincang dengan Institut REHDA apakah insentif yang mereka mahukan supaya pemaju perumahan boleh melaksanakan model bina dan jual.

"Sekiranya model baharu ini diterima oleh pemain industri, maka pada masa akan datang, tidak akan ada projek terbengkalai lagi kerana pemaju hanya dibenarkan jual sebaik projek sudah siap, maka saya fikir ini adalah cara baharu ke hadapan namun kita tidak akan laksanakan secara tergesa-gesa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2023 di Kuala Lumpur, semalam. Yang turut hadir Presiden REHDA, Datuk NK Tong.

Mengulas lanjut Kor Ming berkata, cadangan pelaksanaan model bina dan jual itu adalah susulan daripada kejayaan pasukan tugas-tugas khas projek terbengkalai KPKT yang dipengerusikan sendiri oleh Timbalannya, Akmal Nasir.

"Setakat Ogos tahun ini KPKT berjaya menyelamatkan 256 projek bernilai RM23.37 bilion membabitkan 28,863 pembeli.

"Tetapi bagaimanapun untuk pastikan tidak ada lagi projek terbengkalai, model bina dan jual adalah yang terbaik," katanya.

Dalam pada itu Kor Ming berkata, KPKT akan menyertai MAPEX pada tahun depan sebagai penganjur bersama.

"Ini supaya kita dapat membuat promosi yang lebih besar untuk memastikan setiap rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri seperti mana slogan kita iaitu rumahku, syurgaku," katanya.

MAPEX 2023 yang diadakan bermula hari ini adalah penganjuran kali kedua oleh REHDA dan disertai lebih 40 pempamer dengan 30 adalah pemaju perumahan.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline