NSIP disasar jadi lokasi empat industri utama negara
KUALA LUMPUR: Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) disasarkan untuk menjadi lokasi empat industri utama iaitu semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), sektor logistik pintar dan pengangkutan, serta industri yang terinspirasi oleh Revolusi Industri 4.0 (4IR).
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Group of Companies, Datuk Seri Yap Ngan Choy, berkata industri berkenaan sentiasa berkembang dengan maju dan pantas yang mana peluang tidak akan terhad dalam ekosistem dinamik di NSIP.
Katanya, infrastruktur dan kemudahan mereka akan saling melengkapi sektor-sektor ini dan membawa pertumbuhan dan pembangunan yang lebih pesat kepada ekosistem di samping mengekalkan perniagaan yang lestari dalam jangka panjang untuk mereka.
"Hal ini menjadi sebab kami membangunkan NSIP secara langsung, selari dengan keperluan dan permintaan industri-industri ini, dan sentiasa memastikan berada dalam kedudukan yang baik untuk menarik dan berkhidmat untuk pasaran sasaran ini dengan berkesan.
"Penyepaduan penyelesaian digital menyeluruh dengan tumpuan pada alam
sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) akan menjadi tunjang utama dalam
membolehkan pelabur kami menjalankan perniagaan yang berdaya maju dan
sangat berkesan.
"Selain itu, projek ini terletak secara strategik di tanah kosong dalam Wilayah Pembangunan Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS), yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pelabuhan Klang, dan lebuh raya utama," katanya kepada BH baru-baru ini.
NCT Group melancarkan NSIP pada April lalu, projek utama dalam IDRISS dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM10 bilion.
NSIP membabitkan keluasan keseluruhan 296.43 hektar, dijangka menampilkan infrastruktur termaju, kecerdasan buatan (AI), teknologi internet kebendaan (IoT), analisis data terkini dan pelbagai kemajuan terkini lain dalam pendigitalan serta automasi dengan pembangunan keseluruhan 10 tahun.
Fasa pertama berkeluasan 93.08 haktar daripada tiga fasa pembangunan taman perindustrian itu akan terdiri daripada 101 unit dan 27 plot yang menampilkan kilang semi-D, kilang berkembar, kilang berkembar pautan dan plot perindustrian sehingga 20.23 hektar dengan anggaran GDV RM2 bilion.
Dalam pada itu Ngan Choy berkata, NSIP menyaksikan sambutan menggalakkan dengan Fasa 1 telah 60 peratus terjual setakat ini dengan pihaknya telah menerima banyak pertanyaan mengenai pelaburan langsung asing (FDI) dari pelbagai negara, terutamanya dari China dan lawatan telah dirancang ke galeri jualan supaya mereka dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai NSIP ini.
Katanya, pihaknya percaya bahawa kedudukan kukuh NSIP sebagai perintis Taman
Perindustrian Terurus Bertauliah di Malaysia, dengan kemudahan yang luar
biasa dan kecanggihannya, akan memberikan sumbangan besar kepada
perkembangan positif ini.
"Kami juga berbesar hati untuk berkongsi bahawa strategi kami yang dilaksanakan dengan baik telah memberikan hasil yang luar biasa, dengan pencapaian signifikan dalam tempahan jualan yang kini hampir mencapai 60 peratus untuk Fasa 1.
"Sementara itu, usaha-usaha pembinaan kami sedang giat berjalan, dan kami
komited sepenuhnya dalam mencapai matlamat kami untuk menyiapkan Fasa
1 menjelang suku pertama tahun 2025," katanya
Mengulas lanjut Ngan Choy berkata, sejajar dengan reputasinya sebagai taman perindustrian pintar, NSIP akan menggabungkan inovasi terkini Telekom Malaysia Bhd TM) dan infrastruktur digital yang mantap termasuk Perkhidmatan Pintar, Penyelesaian ICT, Cloud, dan Perkhidmatan Keselamatan Siber.
"Kemudahan berpagar dan terkawal ini direka dengan penyelesaian pintar dan
dilengkapi dengan sokongan 5G untuk memastikan kebolehpercayaan dan
prestasi yang pantas.
"Salah satu ciri utama taman ini ialah Kediaman Berpusat dikendalikan oleh AI (CLQ) yang menyediakan penginapan berkualiti tinggi untuk sekurang-kurangnya 30,000 pekerja.
"Syarikat-syarikat besar lain, seperti Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd
(Huawei) dan Microsoft Malaysia, yang sejajar dengan visi kami, akan menubuhkan pusat data Azure Edge di NSIP. Mereka juga telah bersetuju untuk menawarkan penyelesaian inovatif yang berpotensi untuk meningkatkan kesan keseluruhan dan nilai cadangan NSIP," katanya.
Source: Bharian.com.my