News & Articles SEZ bakal lonjak permintaan hartanah di Johor

SEZ bakal lonjak permintaan hartanah di Johor


2 Nov 2023
SEZ bakal lonjak permintaan hartanah di Johor
KUALA LUMPUR: Ketersambungan dan kegiatan perindustrian yang lebih meluas daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ) seharusnya membawa kepada permintaan lebih tinggi untuk hartanah kediaman serta komersial pada masa hadapan.
Penganalisis RHB Investment Bank, Loong Kok Wen, berkata bank pelaburan itu yakin hasil daripada mesyuarat antara Malaysia dan Singapura yang diadakan baru-baru ini, dengan kedua-dua kerajaan tekad untuk mencepatkan kemajuan SEZ, dengan maklumat serta butiran lanjut mengenai galakan cukai dan perdagangan elektrik merentasi sempadan dijangka diumumkan dalam bulan-bulan akan datang.

Beliau berkata, pemimpin kedua-dua negara amat menekankan matlamat untuk menyediakan perjalanan lebih lancar untuk orang ramai dan pengangkutan barangan.

"Syarikat-syarikat yang berkemungkinan dapat meraih manfaat besar termasuklah UEM Sunrise, Sunway dan AME Elite Consortium," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kok Wen berkata, kedua-dua kerajaan telah mengumumkan bahawa satu memorandum persefahaman (MoU) berkenaan SEZ dijangka akan ditandatangani pada 11 Januari 2024, kerana pegawai-pegawai bagi kedua-dua

belah pihak sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan mengenai zon terbabit untuk menentukan minat daripada pelabur dan permintaan pasaran.

"Kami percaya pemaju-pemaju yang memiliki simpanan tanah berhampiran dengan sempadan (di tambak dan laluan Tuas) patut meraih manfaat memandangkan tumpuan diberi kepada 'kemudahan perjalanan barangan dan orang ramai'," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengadakan perbincangan peringkat lanjut ketika Sesi Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia Ke-10 selama dua hari.

Meskipun lokasi tepat SEZ belum diumumkan, sorotan utama adalah zon ekonomi itu akan membawa kepada pengaturan lebih baik dan lebih mudah kepada orang ramai yang perlu bekerja di kedua-dua belah tambak.

Selain itu, potensi pengaturan cukai khas untuk memastikan aliran barangan lebih lancar antara kedua-dua pihak akan berlaku di bawah SEZ.

Hsien Loong menyatakan bahawa galakan sedemikian akan mempertingkatkan ekosistem pelabur di Singapura dan Iskandar Malaysia, yang bermakna syarikat-syarikat boleh beroperasi di kedua-dua sisi dan mencapai kelenturan operasi lebih tinggi berbanding jika mereka hanya beroperasi sama ada di Singapura atau Johor.

Beliau juga menambah bahawa kedua-dua negara sedang mengusahakan perdagangan elektrik merentasi sempadan.

Difahamjan bahawa Singapura berhasrat untuk mengimport 30 peratus daripada bekalan elektriknya daripada sumber-sumber rendah karbon menjelang 2035, manakala Malaysia baru-baru ini telah menarik balik larangan eksport tenaga boleh baharu.

Selain sektor tenaga boleh baharu, industri-industri lain yang dapat memanfaatkan kemudahan pergerakan barangan antara dua negara ini seperti yang disebut oleh Ketua Menteri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini termasuklah sektor elektronik, farmaseutikal, automotif dan pertanian.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline