'Tinggal jauh dari tempat kerja akibat kos sara hidup tinggi'
PUCHONG: Peningkatan kos sara hidup mendorong ramai individu tinggal jauh dari kawasan tempat kerja mereka, demikian menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Bhd, Datuk Seri FD Iskandar.
Beliau berkata, ramai individu yang bekerja di lokasi Tier 2 seperti Bangsar, Petaling Jaya dan Puchong terpaksa tinggal di lokasi Tier 3 seperti Sungai Buloh dan Cyberjaya bagi meringankan beban kewangan mereka.
Justeru, katanya, Glomac mengambil pendekatan menyediakan pilihan pembangunan kediaman untuk membolehkan mereka tinggal dan bekerja di kawasan yang sama.
Jelasnya, mengambil kira keperluan semasa itu, pemaju hartanah terkemuka itu tampil dengan projek pembangunan campuran bersepadunya, Loop City dengan nilai pembangunanan kasar (GDV) RM1.6 bilion.
"Loop City adalah pembangunan selanjutnya bagi Lakeside Residences di Puchong, perbandaran yang dibangunkan Glomac membabitkan GDV RM4 bilion.
"Sebagai permulaan, Glomac memperkenalkan Loop Residences, dengan fasa pertama membabitkan 980 unit servis seluas 450 kaki persegi dan 750 kaki persegi dengan GDV RM345 juta.
"Harga jualan bermula daripada RM230,000 hingga RM660,000, memastikan golongan profesional muda, pembeli rumah pertama kali, malah pesara boleh mencari penyelesaian yang ideal bagi perumahan mereka," katanya pada taklimat mengenai Loop City di sini, hari ini.
FD Iskandar berkata, pihaknya juga telah bekerjasama dengan pelbagai bank untuk menawarkan pelbagai pilihan pembiayaan.
Beliau berkata, kebanyakan bank menyediakan pembiayaan pinjaman sehingga 100 peratus untuk pembeli rumah pertama kali, malah bagi mereka yang membeli rumah ketiga berkemungkinan boleh mendapatkan pembiayaan sehingga 90 peratus, namun tertakluk kepada terma dan syarat.
Selain itu, katanya, dalam era digital pada hari ini, sambungan internet yang pantas dan boleh dipercayai adalah satu keperluan.
"Kami di Glomac memahami perkara ini, dan semua unit perumahan direka bentuk untuk mematuhi 5G," katanya.
Source: Bharian.com.my