M Minori tampil kediaman moden konsep minimalis Jepun
KUALA LUMPUR: M Minori, pembangunan bercampur dibangunkan Mah Sing Group di Johor menampilkan unit kediaman moden berkonsepkan minimalis Jepun.
Pembangunan bercampur itu merangkumi tiga blok suite servis dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM519 juta.
M Minori terdiri daripada sejumlah 1,526 unit kediaman, dengan unit satu bilik tidur, 1+1 bilik tidur, dua bilik tidur dan tiga bilik tidur.
Ia berkeluasan binaan antara 570 kaki persegi hingga 880 kaki persegi, dengan harga mampu milik bermula daripada RM288,000.
Terletak di Taman Seri Austin, ia berada kira-kira 6.5 kilometer dari pejabat Mah Sing Johor dalam perbandaran matang Austin Perdana.
Pembangunan bercampur itu juga menampilkan dua lot runcit yang menampung kedai makanan dan minuman pandu lalu.
Terdapat perkhidmatan bas ulang-alik ke stesen Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru dan Sistem Transit Rapid (RTS) yang disediakan secara eksklusif untuk penduduk M Minori saja.
Ketua Pegawai Eksekutif Subsidiari Hartanah Mah Sing, Benjamin Ong, berkata M Minori telah memperoleh pensijilan Gangsa GreenRE, yang adalah inisiatif kelestarian sangat dihargai oleh demografi Gen Z, yang semakin cenderung kepada persekitaran hidup mesra alam.
Beliau berkata, pensijilan itu bukan saja mencerminkan komitmen pemaju hartanah itu terhadap kelestarian sebagai pemaju bertanggungjawab tetapi juga membuka pintu kepada sokongan daripada rakan kongsi kewangan.
"Rakan kongsi kewangan menawarkan pilihan pembiayaan hijau kepada pembeli rumah, yang bermaksud kadar faedah pinjaman perumahan rendah untuk pembeli," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Ong berkata, pihaknya menerima maklum balas positif terutamanya daripada pembeli rumah yang lebih muda, bahawa mereka kagum dengan unit pameran berinspirasikan Wabi-sabi Jepun.
Beliau berkata, pembeli turut kagum dengan harga yang berpatutan, iaitu di bawah RM500,000.
"Pembangunan ini telah direka dengan teliti untuk menyediakan pembeli rumah ruang di mana mereka boleh menerima keseimbangan antara kerja dan kehidupan.
"Oleh itu, penggabungan konsep hidup ikigai dan dek kemudahan seluas 1.13 hektar diselaraskan dengan keutamaan generasi baharu, menjadikannya salah satu titik jualan unik yang menarik pembeli rumah untuk mempertimbangkan M Minori," katanya.
Minori disasarkan kepada pembeli muda yang mencari persekitaran yang lebih selesa dan selamat kerana kawalan akses yang lebih ketat pada harga yang berpatutan.
Ia berada di tengah-tengah komuniti Austin yang lestari, yang bermaksud pembeli akan dapat mengakses institusi pendidikan, pusat perubatan, pusat beli-belah dan banyak lagi dengan mudah.
Mah Sing percaya bahawa pembeli rumah kali pertama dari kawasan sekitar yang ingin tinggal berhampiran daerah pusat perniagaan akan mendapati M Minori sangat menarik dan mudah.
M Minori berkedudukan strategik memandangkan ia berada dalam persekitaran kawasan kejiranan matang seperti Taman Seri Austin, Taman Setia Indah, Taman Daya, Taman Mount Austin, Bandar Dato' Onn dan Taman Desa Tebrau.
Komuniti kediaman yang matang itu sangat mudah diakses melalui lebuh raya utama dan jalan utama.
Ia hanya lima kilometer dari persimpangan Lebuhraya Utara-Selatan, lapan kilometer dari Persimpangan Lebuhraya Pasir Gudang dan 13 kilometer dari Persimpangan Lebuhraya Senai-Desaru.
Source: Bharian.com.my