News & Articles Sunway Property bangun hartanah komersial di Putrajaya

Sunway Property bangun hartanah komersial di Putrajaya


29 Nov 2023
Sunway Property bangun hartanah komersial di Putrajaya
KUALA LUMPUR: Sunway Property, cabang perniagaan hartanah Sunway Bhd (Sunway) menjalin kerjasama strategik dengan Putrajaya Holdings Sdn Bhd bagi membangunkan hartanah komersial di Presint 7 dan 8, Putrajaya.

Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah berkata, pihaknya menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Putrajaya Holdings yang sekali gus membuka peluang yang lebih besar di masa hadapan.

Beliau berkata, MOU itu juga akan membolehkan model perniagaan 'Bina-Milik-Kendali' kumpulan dilaksanakan di Putrajaya.

"Kerjasama ini mewakili peluang untuk menyampaikan penyelesaian pembangunan mampan dan inovatif yang akan menyumbang kepada pertumbuhan serta kemajuan komuniti setempat.

"Ia juga mewujudkan asas untuk kerjasama masa depan antara organisasi dalam pelbagai sektor seperti perubatan, pendidikan, pembangunan hartanah dan hospitaliti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Putrajaya Holdings adalah pemaju induk Putrajaya, salah satu projek pembangunan bandar terbesar di Malaysia.

Putrajaya Holdings mempunyai lebih daripada 20 projek pembangunan di Putrajaya yang terdiri daripada bangunan pejabat, hab komersial dan projek kediaman seperti Murraya di Presint 12, Fera di Presint 8 serta Pusat Beli-Belah Alamanda di Presint 1.

Mengulas lanjut, Cheah berkata, kedua-dua pihak juga akan meneroka pembangunan pusat perubatan di Putrajaya.

Beliau berkata, pembangunan pusat perubatan adalah strategik kerana Sunway Healthcare Group (SHG) antara kumpulan penjagaan kesihatan swasta bersepadu yang terkemuka dengan rangkaian hospital dan perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

Katanya, kejayaan pusat perubatan Sunway sudah terbukti selama ini dengan pertumbuhan positif sekaligus menjadikan SHG salah satu kumpulan penjagaan kesihatan terbesar serantau.

"Sasaran penambahan pusat perubatan Sunway di Putrajaya akan mengukuhkan lagi kedudukan SHG sebagai peneraju dalam industri penjagaan kesihatan.

"Kumpulan akan memanfaatkan kepakaran dalam membangunkan perbandaran bersepadu pintar dan mampan serta menggabungkannya dengan pengalaman Putrajaya Holdings dalam perancangan induk untuk mencipta pembangunan yang bertenaga dan inovatif," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline