News & Articles Glomac terkesan kos pembinaan tinggi, kenaikan OPR

Glomac terkesan kos pembinaan tinggi, kenaikan OPR


5 Dec 2023
Glomac terkesan kos pembinaan tinggi, kenaikan OPR
KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai dan keuntungan kumpulan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat (PATMI) Glomac Bhd bagi separuh tahun pertama kewangan berakhir 30 April 2024 susut masing-masing kepada RM6.9 juta dan RM4.5 juta.

Glomac dalam satu kenyataan berkata, keuntungan itu terkesan akibat kos pembinaan yang lebih tinggi dan peningkatan faedah perbelanjaan disebabkan oleh kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sepanjang tempoh berkenaan.

Ia berkata, sepanjang tempoh dikaji, kumpulan mencatatkan pendapatan belum diaudit sebanyak RM115.9 juta, berbanding RM143.9 juta yang dilaporkan dalam tempoh yang sama bagi tahun kewangan 2023.

"Faktor yang menyumbang kepada penurunan jumlah keuntungan adalah aktiviti pembangunan hartanah yang semakin perlahan kerana fasa pembinaan beberapa projek, seperti Plaza@Kelana Jaya dan tiga fasa kediaman di Saujana Perdana hampir siap," katanya.

Bagi tempoh suku kedua tahun kewangan 2024, Glomac melaporkan hasil kumpulan sebanyak RM55.8 juta, berbanding RM78.4 juta yang dicapai pada suku yang sama pada tahun kewangan 2023.

Kedudukan kewangan Glomac kekal sihat pada posisi penggearan bersih 0.10 kali setakat 31 Oktober 2023, berbanding dana pemegang saham sebanyak RM1.1935 bilion.

Kedudukan wang tunai dan deposit tunai meningkat kepada RM325 juta, berbanding RM288.8 juta pada akhir April 2023.

Aset bersih sesaham meningkat kepada RM1.56 daripada RM1.53 pada akhir April 2023, yang diterjemahkan kepada nisbah harga kepada buku sebanyak 0.24 kali.

Dividen peringkat tunggal terakhir sebanyak 1.25 sen setiap saham telah diumumkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan akan diagihkan pada 22 Disember 2023.

Jumlah ini diterjemahkan kepada kira-kira 3.4 peratus hasil dividen pada harga saham semasa.

Glomac berkata, dalam tempoh separuh tahun pertama, ia mencatat peningkatan 30 peratus jualan hartanah, berjumlah RM138 juta berbanding RM106 juta yang dicatat pada tempoh yang sama pada tahun kewangan 2023.

Pertumbuhan jualan pula, katanya disokong oleh penjualan penuh kesemua unit kedai pejabat di Lakeside Boulevard II.

"Ini diperkukuh lagi dengan prestasi jualan yang konsisten daripada dua projek pembangunan kediaman bertingkat tinggi di daerah Petaling Jaya-Damansara, iaitu 121 Residences dan Plaza@Kelana Jaya.

"Kedua-dua pangsapuri servis ini telah dijual sepenuhnya pada akhir Oktober 2023," katanya.

Sementata itu, Glomac berkata momentum jualan dijangka meningkat dengan hartanah baharu bernilai RM626 juta yang akan dilancarkan pada separuh kedua tahun kewangan 2024.

Ia berkata, ini termasuklah projek Loop City, sebuah pembangunan kediaman bersepadu baharu yang terletak di tengah-tengah Puchong dengan jumlah anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.57 bilion.

"Fasa awal dikenali sebagai Loop Residences, merangkumi kediaman jenis SoHo dan pangsapuri servis dengan anggaran GDV sebanyak RM338 juta.

"Pelancaran baharu lain akan membabitkan rumah berkembar dan unit kediaman bertingkat tinggi mampu milik di Lakeside Residences," katanya.

Glomac menambah, ia memiliki kemampuan pertumbuhan yang kukuh, dengan kedudukan kewangannya mencukupi untuk memacu aktiviti pembangunan dan pengembangan simpanan tanah.

Katanya, dengan simpanan tanah di Lembah Klang dan Johor dengan jumlah anggaran GDV sebanyak RM8 bilion, ia berpotensi besar meneroka peluang baharu bagi menjamin kemampanan perniagaan pembangunan hartanah.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline