News & Articles Lebih banyak rumah mampu milik akan dibina di Iskandar Puteri

Lebih banyak rumah mampu milik akan dibina di Iskandar Puteri


6 Dec 2023
Lebih banyak rumah mampu milik akan dibina di Iskandar Puteri
KUALA LUMPUR: Iskandar Investment Bhd (IIB) merancang pembinaan lebih banyak rumah mampu milik di Iskandar Puteri di bawah Projek Wawari bagi membolehkan semua lapisan masyarakat mempunyai rumah berkualiti dan bernilai tinggi pada harga yang berpatutan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim, berkata IIB menzahirkan penghargaan di atas perancangan serta inisiatif kerajaan negeri di bawah Belanjawan Johor 2024 bagi memperkasa pemilikan rumah melalui pembangunan perumahan yang berpatutan.

Dalam pada itu, beliau berkata pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di lokasi strategik antara Lapangan Terbang Changi dan Iskandar Puteri pada jarak 45 kilometer, mampu mengukuhkan lagi kedudukan Medini sebagai destinasi pelaburan utama, selain dapat menarik pelaburan bernilai tambah dan seterusnya membuka peluang ekonomi bagi Johor.

Malah, katanya, usaha berterusan kerajaan negeri dalam mengukuhkan inisiatif pelaburan dan kerjasama serantau, akan turut mendorong peningkatan sosioekonomi rakyat termasuk menerusi inisiatif Friendly Johor 3.0 dan Johor Go Global 3.0 dalam Belanjawan Johor 2024.

"IIB komited dan memberi sokongan penuh dalam penyediaan kemudahan dan rangkaian tenaga kerja yang menepati keperluan khusus industri serta menjadi sebahagian daripada Medini.

"Kami turut mengunjurkan pertumbuhan pesat bagi Global Business Service (GBS) Medini, Tech Medini dan pasaran hartanah untuk golongan M40 pada beberapa tahun akan datang melalui usaha berterusan program Friendly Johor 3.0 dan Johor Go Global 3.0," katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang membentangkan Belanjawan Johor 2024, minggu lalu berkata Malaysia dan Singapura dijangka memeterai memorandum persefahaman (MoU) penubuhan JS-SEZ pada 11 Januari 2024.

Dalam pada itu, Idzham berkata IIB turut menyokong Program Rintis Kenderaan Elektrik dengan peruntukan RM2.5 juta serta Pemeliharaan dan Pemuliharaan Kawasan Hijau menerusi tiga fasa dengan jumlah keseluruhan RM5.3 juta.

"Kami di Medini komited menyediakan lebih banyak stesen pengecasan kereta elektrik (EV) selain mengekalkan kira-kira 40 peratus ruang atau kawasan hijau," katanya.

Menurut Idzham, pihaknya juga berharap dapat bekerjasama dengan Pusat Kelestarian Johor (JSC) yang dilancarkan pada Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023 yang sejajar dengan inisiatif IIB dalam pelan hala tuju Daerah Perniagaan Pusat Karbon Sifar Bersih (CBD).

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sunsuria buys 20% stake in Kg Sungai Baru developer for RM10 mil, to inject RM40 mil to kick-start development

  • Projek Sunway Bayu catat jualan RM42 juta dalam masa sehari

  • LBS signs MoU for 10GW green hydrogen project in Sabah

  • Milla Residence sedia tempat letak kereta automatik canggih

  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline